Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pemimpin AMK nafi dakwaan Farhash mengenai 'undi hilang'

Ketua biro undang-undang Pemuda PKR (AMK), Chiew Choon Man menafikan dakwaan calon naib presiden PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang mengatakan lebih 25,000 undi hilang dalam pemilihan PKR baru-baru ini.

Farhash mendakwa seramai 147,000 ahli PKR mengundi calon timbalan presiden namun undi yang diperolehi Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution Ismail hanya berjumlah 119,030.

Bagaimanapun Chiew berkata, ahli PKR tidak diwajibkan untuk mengundi setiap jawatan dalam pemilihan tersebut.

"Sebagai contoh, dalam pemilihan di cabang Penampang, jumlah undi yang diberikan kepada semua calon timbalan presiden adalah sebanyak 274 undi, manakala jumlah undi yang diterima oleh semua calon Ketua Cabang adalah sebanyak 576 undi.

"Dalam kes ini, tidak timbul isu “hilang undi” sebanyak 302 undi kerana ahli di cabang Penampang yang mengundi untuk ketua cabang mempunyai hak untuk tidak mengundi jawatan timbalan presiden.

"Ketetapan ini telah menjadi amalan dalam pemilihan-pemilihan parti sebelum ini di mana setiap ahli diberi kebebasan untuk mengundi atau tidak mengundi jawatan-jawatan tertentu,” katanya dalam kenyataan.

Chiew berkata, dakwaan tidak tepat itu perlu diperbetulkan bagi mengelak persepsi tidak tepat orang awam terhadap integriti dan kualiti pentadbiran pemilihan parti.

"Tanpa menafikan hak untuk bersuara, saya berharap agar semua anggota Keadilan khususnya calon-calon yang bertanding untuk menggunakan saluran betul dalam parti untuk membangkitkan ketidakpuasan atau aduan yang melibatkan isu-isu dalaman parti.

"Disiplin parti haruslah dihormati untuk mengelakan persepsi yang tidak tepat kepada masyarakat di luar dan untuk memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa parti kita ini merupakan parti yang tepat untuk mengangkat sistem demokrasi dan seterusnya dijadikan sebagai pilihan utama untuk rakyat Malaysia.

Farhash, yang juga bekas pembantu presiden PKR Anwar Ibrahim, sebelum ini mendakwa berlaku kepincangan dalam pemilihan PKR selepas tewas kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bagi jawatan ketua cabang PKR Gombak.

Dia juga tewas dalam pertandingan untuk merebut salah satu daripada empat jawatan naib presiden PKR.