Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Rasuah: Nazir ikut cara Hong Kong dulu jika berkuasa

Nazir Razak, adik kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang telah disabitkan dengan pelbagai pertuduhan rasuah, hari ini berkata bahawa sekiranya dia berkuasa, dia akan memperkenalkan dasar antirasuah seperti dilaksanakan di Hong Kong pada 1970-an.

Menjawab soalan pada satu majlis hari ini, Nazir berkata terdapat dua perkara yang akan dilaksanakannya segera untuk menangani masalah sistemik negara, termasuk rasuah.

Dia merujuk kepada kaedah yang diperkenalkan oleh Hong Kong pada 1970-an untuk menangani rasuah yang berleluasa di pulau itu ketika itu.

Kerajaan Hong Kong ketika itu menawarkan pengampunan kepada kesalahan sebelum 1977, tetapi menggunakan dasar ‘shoot to kill’ atau tindakan yang tegas terhadap kesalahan rasuah pada masa akan datang.

"Perkara kedua yang saya ingin tangani ialah rasuah, bagaimana untuk membasmi rasuah (di negara ini). Terdapat model di Hong Kong pada 1970-an. Mereka merombak sistem, menawarkan pengampunan, dan 'shoot to kill'.

"Apabila sudah ramai orang yang terlibat (dalam rasuah), anda mesti ada pengampunan. Jika tidak, semua orang akan menghalang (usaha anda untuk membersihkan sistem).

"(Jika anda melakukan rasuah) pada masa hadapan, kami akan (guna dasar) 'shoot to kill'. Jika apa yang mereka lakukan pada masa lalu tidak serius, kita beri pengampunan," katanya pada sesi memperkenalkan bukunya 'Di Sebalik Nama' semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di Pusat Dagangan Dunia KL.

Nazir berkata demikian selepas ditanya apa yang akan dilakukannya untuk mengubah Malaysia menjadi lebih baik jika dia berkuasa.

Perubahan lain, katanya pada program itu, ialah menubuhkan 'sidang rakyat' yang dianggotai rakyat biasa, yang akan berfungsi sebagai platform untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi negara.

"Ini akan menjadi perkara paling penting dalam senarai saya, dan yang pertama saya akan lakukan. Tiada siapa yang cukup bijak untuk memahami semua masalah kita.

"Seperti yang puan katakan tadi, ramai orang bijak adalah 'kayangan' (elit), mereka tidak faham (masalah rakyat biasa)," katanya.

Nazir juga menggesa negara untuk mengamalkan "demokrasi bermusyawarah" pendekatan yang dicadangkan kumpulannya melalui platform yang dipanggil Perhimpunan Rakyat Malaysia (BMA).

BMA ialah pendekatan berpusatkan warganegara yang dicadangkan oleh sekumpulan 55 individu terkemuka di sebalik idea tersebut. Kumpulan itu telah menulis surat kepada Majlis Raja-Raja pada Disember tahun lepas, di mana mereka mencadangkan untuk menubuhkan BMA sebagai inisiatif yang terdiri daripada wakil daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk membincangkan isu-isu kenegaraan dan pembaharuan institusi.

Menurutnya, "demokrasi bermusyawarah" adalah satu evolusi dan telah dimulakan di 28 negara di seluruh dunia.

"Saya fikir kita kena majukan demokrasi kita dengan inovasi demokrasi ni. Kalau lihat Yale, Stamford, Oxford, mereka pun baru nak bina jabatan demokrasi bermusyawarah.

"Pada saya Malaysia patut ke depan dalam demokrasi," katanya.

Nazir berkata sejak mereka membuat cadangan itu tahun lepas, mereka menerima maklum balas yang berbeza-beza.

Kumpulan itu juga telah mengadakan libat urus dengan istana negara dan Putrajaya mengenai isu itu, tetapi masih menunggu maklum balas rasmi.

Tokoh korporat itu berkata terdapat segelintir pihak yang menentang idea itu, tetapi dia percaya ini mungkin disebabkan kekurangan maklumat dan kekurangan libat urus.

“Buat masa ini, saya mahu berjumpa dengan mereka yang menentang. Saya mahu faham mengapa mereka tidak bersetuju dengan idea itu.

"Bagi saya idea ini cukup mudah. ​​Perhimpunan rakyat ini adalah satu proses ke arah Malaysia 3.0, dan kita tidak mahu ia dibina oleh golongan elit sahaja.

“Kita mahu rakyat biasa berbincang dan mencari penyelesaian kepada isu-isu negara,” katanya.