Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Radzi: Tidak pernah ada kuota guru kontrak perkhidmatan

Tiada kuota khas diperuntukkan bagi pengambilan guru kontrak perkhidmatan (COS) bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (Gred DG41), kata Menteri Pendidikan Radzi Md Jidin.

Dia berkata, bagaimanapun keutamaan diberikan kepada mereka dalam jurusan pendidikan.

“Sejak awal lagi, kementerian menegaskan peluang itu akan diberikan kepada graduan profesion pendidikan yang berkelayakan kerana mereka dilatih menjadi guru.

“Sekiranya ada tambahan kekosongan, ia akan diberikan kepada graduan yang bukan daripada jurusan pendidikan,” katanya yang dipetik Astro Awani pada sidang media khas di Kementerian Pendidikan semalam.

Radzi menjawab mengenai dakwaan kekaburan berhubung pengambilan khas secara one-off yang melibatkan 18,702 pegawai perkhidmatan pendidikan gred DG41untuk mengisi kekosongan jawatan di seluruh negara.

Adalah didakwa selepas peringkat temuduga, kuota asal pengambilan 5,000 guru telah dikurangkan kepada 2,400.

Radzi bagaimanapun berkata, angka itu jumlh calon yang disenarai pendek yang dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mendapatkan sijil khas bagi membolehkan mereka dipilih Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

“SPP akan pilih jumlah (calon) yang diperlukan. Tiada dakwaan bahawa terdapat kuota 4,000 lepasan bukan pendidikan,” katanya.

Tambah menteri itu, terdapat seramai 200 graduan yang layak untuk skim itu oleh SPP yang masih belum menerima surat daripada Senat Universiti.

“Tidak adil jika kita abaikan mereka kerana itu bukan salah mereka.

“Pengambilan mereka tiada kaitan dengan (guru) COS tanpa jurusan pendidikan,” katanya.

Pada 5 Mei lalu, Radzi dilaporkan berkata, nasib 2,600 guru COS yang dilantik pada pengambilan Jun 2020 akan terbela apabila kontrak mereka akan disambung selama dua tahun lagi.

[Baca berita penuh]