Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Henti subsidi ayam bukti kegagalan dasar k'jaan'

Dua ahli parlimen mendakwa kerajaan gagal dalam dasarnya berikutan keputusan menarik balik subsidi untuk penternak ayam dan itik mulai 1 Julai dan seterusnya.

Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata dia telah menerima maklum balas daripada pemain industri bahawa skim subsidi itu terlalu rumit dan banyak penternak masih belum mendapat pampasan.

"Mekanismenya sangat kompleks, dan setiap negeri mempunyai peraturan yang berbeza. Proses permohonan tidak jelas. Banyak dokumen diperlukan.

“Penternak perlu melalui pelbagai cabaran sebelum akhirnya permohonan mereka ditolak,” kata Sim, jurucakap PKR berhubunng isu pertanian.

Menurut Sim, majoriti penternak masih belum menerima subsidi, yang bermula pada Februari.

Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin

Pada Februari, Putrajaya bersetuju memberi subsidi 60 sen untuk setiap kilogram ayam yang dihasilkan dan subsidi 5 sen untuk setiap telur.

Ini adalah untuk membantu penternak ayam yang bergelut dengan harga makanan ayam yang melambung tinggi dan harga siling RM8.90 sekilogram untuk ayam bulat.

Semalam, kabinet memutuskan bahawa subsidi akan dihapuskan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai menggesa Putrajaya menyalurkan subsidi yang pernah disasarkan untuk penternak ayam kepada isi rumah B40 dan M40.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai

Wong berkata terdapat 2.78 juta keluarga B40 dan 2.78 juta keluarga M40 terjejas teruk akibat kenaikan kos sara hidup.

“Pengumuman terbaru (Putrajaya) adalah pengakuan bahawa kerajaan gagal mengawal harga ayam, dan ini adalah bukti jelas kegagalan dasar awam.

“Kerajaan sebelum ini mengumumkan pemberian subsidi sebanyak RM729 juta kepada penternak ayam melalui skim kawalan harga maksimum yang dilaksanakan pada 5 Feb hingga 5 Jun selama 121 hari.

"Kerajaan sepatutnya menyalurkan RM729 juta yang asalnya diperuntukkan kepada penternak ayam untuk membantu 5.56 juta keluarga B40 dan M40. Setiap keluarga akan menerima kira-kira RM130," kata Wong dalam satu kenyataan.