Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan 'cap ayam' BN, PN gagal kawal harga ayam - Amanah

Pemuda Amanah membalas dakwaan bekas perdana menteri Najib Razak bahawa pengundi perlu menghukum Pakatan Harapan kerana meletakkan menteri "cap ayam" yang tidak cekap untuk mentadbir Putrajaya.

Pengarah komunikasi sayap pemuda parti itu, Azam Mektar berkata Najib berusaha menarik simpati perwakilan BN dan rakyat bagi menggambarkan dirinya mangsa ketidakadilan sedangkan dia telah didapati bersalah oleh mahkamah tinggi.

"Konvensyen BN sepatutnya diambil kesempatan mengangkat isu permasalahan rakyat yang tertekan dengan kos sara hidup dan barang keperluan yang naik mendadak," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Azam juga berkata sebenarnya BN yang mempunyai reputasi menteri "cap ayam."

"Kerajaan hari ini ialah kerajaan BN bersama PN yang gagal mengawal harga ayam, minyak masak dan barangan keperluan harian rakyat. Malah memberikan solusi yang tidak masuk akal.

Pengarah komunikasi Pemuda Amanah, Azam Mektar.

"Kerajaan inilah sebenarnya kerajaan cap ayam walaupun terdapat lebih 70 menteri dan timbalan menteri," kata Azam lagi.

Harga ayam telah meningkat sejak tahun lepas kerana kos pengeluaran meningkat, kebanyakannya disebabkan oleh makanan bijirin yang lebih mahal dengan sebahagian besar pula diimport.

Sebagai tindak balas kepada ini, kerajaan telah memanjangkan subsidi kepada pengguna melalui mekanisme kawalan harga - yang telah dilanjutkan hingga 30 Jun.

Najib menempelak PH semasa berucap di konvensyen BN di Kuala Lumpur semalam.

Azam mendakwa kenyataan 'cap ayam' oleh Najib itu sebagai tindak balas kepada demonstrasi Pemuda Amanah yang diadakan di hadapan Sogo pada Ahad mengenai harga ayam, dengan label 'cap ayam' yang sama terhadap kerajaan.

Katanya, sekiranya kerajaan tidak menyelesaikan masalah itu segera, Pemuda Amanah akan mengadakan protes yang lebih besar lagi.

"Justeru Pemuda Amanah dengan itu menggesa sekali lagi, satu sidang khas Dewan Rakyat perlu diadakan dengan segera, bagi membolehkan ahli parlimen membahaskan isu peningkatan kos sara hidup, krisis keselamatan makanan dan harga barang yang sangat membebankan rakyat sejak kebelakangan ini.

"Sekiranya tiada tindakan tuntas dan segera diambil, Pemuda Amanah tidak teragak-agak untuk menggerakkan rakyat khususnya anak muda bagi menyuarakan kerisauan dan kemarahan kami kepada kerajaan cap ayam ini," tegasnya.