Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Annuar akui 'ingkar' pada kehendak Zahid

Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa, mengakui bahawa dia tidak berdiri ketika diminta bangun oleh Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, sebagai tanda memberi sokongan agar pilihan raya umum (PRU) disegerakan.

Namun kata bekas setiausaha agung BN itu dia enggan mengikut kemahuan Ahmad Zahid bukanlah bermakna dia tidak setuju agar PRU diadakan secepat mungkin.

Bahkan, katanya, dia hanya mahu PRU dibuat apabila BN benar-benar bersedia.

Lebih daripada itu Annuar - yang digugurkan daripada jawatannya oleh Ahmad Zahid pada 5 Jan 2021 - mendakwa bukan dia saja yang terkejut dengan arahan bediri tersebut.

"Saya perhatikan ramai terpinga- pinga. Ramai juga yang spontan berdiri, ada yang tunggu (dulu) nak tengok kawan berdiri atau tidak.

"Ada yang berdiri tapi memberitahu (sebenarnya) pendirian (mereka) berbeza. Biasalah dalam situasi yang begitu," katanya.

Tambah menteri komunikasi dan multimedia berkenaan dia memang setuju PRU disegerakan namun ia perlulah dibuat apabila "BN benar-benar sudah siap siaga."

Katanya dia tidak perlu berdiri hanya kerana orang lain dilihat berdiri, atau bangun kerana segan apabila berbeza daripada orang lain.

"Pengalaman saya telah banyak menyaksikan yang didakwa yakin menang, akhirnya kalah; yang dikata ready (bersedia) sebenarnya belum ready, yang kononnya ada dana, kehabisan dana selepas beberapa hari kempen bermula; yang dikata ramai 'putih' akhirnya 'hitam' dan sebagainya," tambah Annuar dalam satu hantaran di media sosialnya.

Percaya kepada PM

Semalam, semasa BN mengadakan konvensyen sempena sambutan ulang tahun BN gabungan itu, Ahmad Zahid meminta peserta supaya berdiri sebagai tanda sokongan untuk mendesak PRU diadakan segera.

Di hadapan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Ahmad Zahid bertanyakan siapa yang setuju supaya PRU diadakan segera tahun ini.

Gesaan Ahmad Zahid itu disambut sorakan para peserta konvensyen yang kemudian bangkit menyatakan sokongan mereka.

Annuar berkata BN perlu berhati-hati agar tidak tersilap perhitungan serta analisis tidak boleh dibuat secara retorik dengan memetik "fakta di tepi jalan".

BN juga, katanya, perlu berhati-hati apabila menyatakan sudah bersedia untuk menghadapi PRU.

Mengenai tarikh terbaik mencadangkan pembubaran parlimen

Katanya, apa yang terbaik dilakukan ialah tarikh PRU itu kekal menadi rahsia dan perkara mengenainya dibincangkan para pemimpin tertinggi parti bagi melihat semua aspek.

"Saya berpegang pada prinsip - tarikh pilihan raya adalah senjata parti yang sedang memerintah (iaitu) BN. Ia perlu dibincang tertutup.

"Sementara itu kita perlu jujur. Kalau sudah ready kata ready. Tapi kalau kerja pun belum buat, dana belum tersedia, data belum terurus, jentera belum terlatih, tapi kita mendakwa kita sudah ready, itu menolak ikhtiar namanya.

"Saya percaya perdana menteri akan memberi semula mandat pada rakyat bukan dalam tergopoh-gapah, atau pada saat suasana yang berterabur, sebaliknya ketika rakyat bersedia dan yakin untuk memberi mandat semula kepada yang sedang berkuasa," katanya.