Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SPRM siasat 25 kes salah urus pengurusan Covid-19

SPRM kini sedang menyiasat 25 kes berkaitan salah urus pengurusan wabak Covid-19 oleh pelbagai agensi kerajaan, menurut Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki.

Bercakap kepada pemberita di Putrajaya, Azam berkata kes itu termasuk perolehan dan pembekalan pelitup muka.

"Kita jaga sensitiviti banyak pihak. Jadi, saya cuma kata berkaitan pengurusan Covid. Setiap 25 kes berbeza, bukan sama," kata Azam, sambil menjelaskan beberapa individu telah dipanggil untuk membantu siasatan SPRM yang sedang berlangsung.

Azam menegaskan SPRM tidak hanya tertumpu kepada Kementerian Kesihatan atau laporan dakwaan rasuah perolehan Covid-19 yang dibangkitkan oleh bekas menteri kesihatan Dr Adham Baba.

"Itu mungkin satu daripadanya. Saya tak kata hanya KKM...ada banyak lagi," katanya.

Ditanya jika SPRM akan memanggil Adham, kini menteri sains, teknologi dan inovasi, Azam berkata ia bergantung kepada keperluan siasatan.

"Setakat yang kita terima laporan dari pelbagai pihak, kita buka 25 kertas siasatan. Saya tidak mahu namakan mana-mana agensi tapi ia berkaitan pengurusan Covid semasa tempoh Covid berlaku. Pelbagai isu kita siasat," katanya.

Adham sebelum ini dilaporkan mengisytiharkan kesediaan dirinya untuk bekerjasama dengan siasatan SPRM, termasuk penjelasan mengenai sebarang "kekeliruan" daripada pemerolehan tidak teratur semasa pandemik Covid-19.

'Siasatan terhadap Hakim Nazlan selesai'

Mengenai perkara berasingan, Azam berkata SPRM telah menyelesaikan siasatannya terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali berhubung dakwaan kekayaan yang tidak dapat dijelaskan, yang pertama kali dibangkitkan oleh sebuah blog berkaitan politik.

"Isu ini saya tak nak bangkitkan lagi kerana siasatan telah dilengkapkan di peringkat kami dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk sebarang tindakan lanjut," katanya.

SPRM telah dituduh melakukan ugutan terhadap badan kehakiman dan Presiden Badan Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lynn semalam mengumumkan peguam akan melancarkan bantahan aman "perarakan untuk kebebasan kehakiman" pada 17 Jun dari Padang Merbok ke bangunan parlimen.

[Baca berita asal]