Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Warga Nigeria berjaya batalkan perintah pengusiran

Selepas hampir 10 tahun tinggal di negara ini bersama isteri warga Malaysia dan dua anak mereka, seorang warga Nigeria dibenarkan menetap negara ini.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini memutuskan untuk membenarkan semakan kehakiman Simon Momoh terhadap perintah Jabatan Imigresen untuk menahan dan menghantar dirinya pulang.

Ketika keputusan itu dibacakan Momoh dan isterinya Low Kr Hui dilihat berpelukan antara satu sama lain sambil menangis di galeri awam.

Pada 23 April tahun lalu, bapa kepada dua anak berusia sembilan dan enam tahun, berjaya dalam permohonan habeas corpus untuk dibebaskan daripada tahanan yang menyalahi undang-undang.

Sejak itu, Momoh berdepan kemungkinan dihantar pulang ke Nigeria berikutan pihak imigresen membatalkan pas lawatan sosial.

Jika tidak kerana pembatalan perintah oleh mahkamah, pas lawatan sosial itu akan berkuatkuasa sehingga Oktober tahun ini.

Jabatan Imigresen membatalkan pas lawatan sosial warga Nigeria berusia 34 tahun itu kerana telah disabitkan kesalahan dan dihukum penjara sehari dan denda RM12,000 atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.

Momoh telah menjalani hukuman penjara dan membayar denda.

Sejak itu, Momoh membayar RM100 sebulan bagi memperbaharui pas Imigresen khas untuk kekal di Malaysia sementara menunggu proses semakan kehakiman.

Ketika membacakan penghakiman, Hakim Shahnaz Sulaiman memutuskan bahawa kesalahan trafik bukan justifikasi untuk perintah pengusiran.

[Baca berita asal]