ULASAN | Adakah buku masih ada harapan?
Ketika tulisan ini diketik, pada ketika yang sama begitu banyak tulisan sedang disiapkan. Begitu banyak dakwat-dakwat dicurah di atas kertas untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan menjelang sehari dua lagi. Dunia buku di Malaysia ketika ini begitu kalut dan riuh. Kilang-kilang percetakan sedang kesesakan mencetak ribuan naskhah yang dihantar kepada mereka.
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur akan berlangsung selama 10 hari, dari 3 hingga 12 Jun. Pesta Buku ini ditangguhkan selama dua tahun akibat pandemik. Kali terakhir ia diadakan pada tahun 2019. Kini selepas Covid-19 mulai ditangani sebagai endemik, penganjur berani meneruskan pesta buku antarabangsa ini. Syabas kita ucapkan kepada penganjur dan pihak yang terbabit.
Bagaimanapun persoalan utamanya, di era selepas pandemik dan ketika era gajet makin bermaharajelala meratah dan menjajah minda umat manusia, terutama generasi muda, adakah buku–bercetak–masih relevan?
Maklumat pada hari ini bersepah dalam internet, menunggu masa untuk ditarik keluar. Apa sahaja yang mahu dicari, tekan sahaja laptop atau telefon pintar, pasti jawapannya timbul. Jadi apa perlunya lagi buku?
Sebelumnya lagi, media cetak seperti surat khabar dan majalah telah lama tutup kedai. Satu persatu penerbit akhbar mulai bungkus, baik yang ternama mahupun yang tidak ternama, baik yang menyokong idealisme kerajaan mahupun yang menentang kerajaan. Sama-sama tidak boleh cari makan. Berakhirnya era surat khabar menandakan ribuan pekerja yang mencari makan dengannya selama ini terpaksa mencari kerja lain. Ini termasuk penjual akhbar dan majalah di kiosk tepi jalan. Internet begitu berkuasa. Orang mahukan maklumat yang pantas dan tangkas. Surat khabar yang dilahirkan sekitar 1609, sudah menuju ke hari kiamatnya. Majalah dan komik yang lebih ringan pun–seperti keluaran Tora Aman, Gempak, Kreko, Apo?– juga menghembuskan nafas terakhir dalam bentuk lama. Dan ada yang tampil di dimensi baru seperti di atas talian.
Di Korea Selatan, Webtoon antara bentuk ‘komik’ yang boleh dibaca melalui telefon pintar. Dan sememangnya Webtoon ini dibuat untuk kemudahan dan keselesaan pengguna telefon pintar. Manga pula, yang lebih identik dengan Jepun, untuk bacaan bercetak, mulai berkurangan. Sekurang-kurangnya di Korea Selatan dan Malaysia yang selama ini mengimport bacaan komik dari negara matahari terbit tersebut. Manga Jepun terjemahan terbitan Comic House sudah mulai tutup kedai, begitu juga dengan Tora Aman. Sementara di Korea Selatan, Webtoon lebih laris.
Tetapi bagaimana pula dengan buku? Adakah buku – bercetak– akan mengalami nasib yang sama seperti suratkhabar, majalah dan komik?
Penulis terpaksa meletakkan “–bercetak–” selepas perkataan buku, menunjukkan kesukaran pemahaman terutamanya pada generasi hari ini, yang memandang e-book atau PDF juga sebuah ‘buku’. Terlepas dari membincangkan persoalan atau penakrifan apa itu ‘buku’ di ruangan ini, buku yang kita bincangkan sekarang ialah buku bercetak. Adakah buku bercetak akan menuju ajalnya sedikit masa lagi?
(Dan selepas perenggan ini, penulis tidak akan menggunakan ‘bercetak’ lagi, untuk merujuk pada buku bercetak.)
Penulis datang daripada generasi ‘old school’, yang biasa dengan bau buku, bau kertas dan bau dakwat. Hanya memegang telefon bimbit (istilah yang sudah jarang kita gunakan) Nokia 3310 (dalam loghat Kedah disebut Nokia Tiga Tiga Sekupang) pada umur 17 atau 18 tahun. Segala maklumat dan pengetahuan pada masa itu penulis peroleh dari buku, majalah, mahupun surat khabar. Penulis menghabiskan masa begitu lama membaca dari perenggan ke perenggan untuk menguliti apa yang disampaikan oleh penulis. Dan ia selain memerlukan proses pemahaman yang lama, ruangan komen juga tidak ada untuk kita terus memuntahkan segala komentar tidak masak atau pandangan yang sangat segera.
Antara yang dibaca ketika itu seperti akhbar Siasah. Walaupun Siasah bererti ‘politik’, tetapi akhbar Siasah itu sangat intelektual, dan menuangkan segala perbahasan dan pendapat dan hal-hal lain yang tidak diperoleh di wacana arus perdana. Sementara di arus perdana pula, penulis selalu membelek majalah al-Islam dan Utusan Malaysia untuk membaca tulisan-tulisan Astora Jabat yang sangat kontroversial pada masa itu.
Generasi sekarang meskipun dibesarkan dengan telefon pintar dan persekitaran yang lebih mudah dan mewah berbanding sebelum ini, masih banyak lagi hal yang generasi sekarang sangat kurang dan miskin berbanding generasi sebelum ini. Ya, pembacaan yang perlahan dan tenang juga adalah satu kenikmatan dalam zaman yang serba gelojoh dan rakus lewat aplikasi seperti meme dan troll – suatu budaya yang tidak wujud di zaman sebelum ini. Jadi budaya percetakan sebelum ini walaupun perlahan (paling cepat, berita bercetak hanya akan datang keesokan hari), tetapi lebih tenang.
Bagaimanapun, buku lebih berat dan tebal berbanding surat khabar. Sesuatu tulisan di surat khabar dan majalah mempunyai kepanjangan tertentu, berbeza dengan buku yang lebih panjang, besar dan luas. Maka atas alasan itu, buku tidak akan mati, atau lebih tepat, buku tidak dapat mati.
Sekolah dan universiti masih memerlukan buku. Melainkan masyarakat dan negara kita sudah tidak lagi memerlukan sekolah dan universiti, barulah buku boleh mati. Kerana itu buku tetap hidup dan tidak dapat mati. Seorang yang mahu menjadi guru di sekolah, harus masuk belajar ke sekolah dan seterusnya ke universiti ataupun institut perguruan. Di sana, rujukan-rujukan tentang pendidikan masih di dalam bentuk buku. Mata pelajaran di sekolah masih perlu diakses dengan buku.
Bukan sahaja tentang seorang yang mahu menjadi guru di sekolah, tetapi juga pelbagai ilmu dan mata pelajaran lain masih bergantung pada buku. Buku meskipun dari sudut fizikal lebih berat dari gajet, tetapi harga buku masih lebih murah berbanding harga gajet. Bahkan buku yang diperbuat dari kertas yang diperbuat dari pokok lebih mesra alam kerana boleh dikitar semula berbanding gajet yang tidak boleh dikitar semula dan lebih banyak mencemarkan alam.
Kita tidak dapat menghadap skrin begitu lama sepanjang masa. Ini antara kelemahan gajet. Untuk membaca sesebuah e-book di skrin pada jangka masa yang lama, agak menyakitkan mata.
Atau jika menggunakan telefon pintar, bagaimanakah seseorang ibu bapa atau guru itu boleh yakin anaknya atau anak muridnya membaca e-book atau ‘membaca’ benda-benda lain? Jadi ini menunjukkan buku masih tidak dapat tertandingi.
Buku juga mengajarkan penggunaan bahasa yang teratur dan berdisiplin dalam laras penggunaanya. Short-form dan bahasa pasar adalah sesuatu yang sangat aneh untuk dijumpai dalam buku-buku serius (bukan fiksyen, malahan fiksyen).
Berbanding alam maya –sesuatu yang tidak dapat disentuh seperti Facebook – manusia secara sihatnya atau normalnya lebih menyukai hal-hal fizikal. Seperti seks misalnya. Kita tidak hanya mahu berkhayal tentangnya atau hanya menyentuh skrin. Tetapi kita mahu merasainya secara fizikal. Begitu juga makan, meskipun di abad teknologi pintar ini kita boleh memesan makanan secara atas talian dengan hanya menekan skrin, atau sudah ada robot yang menjadi pelayan, akhirnya makanan mesti sampai kepada kita dalam bentuk fizikal – bukan maya. Begitu juga dengan buku. Kepuasan menyelak helaian demi helaian, membaca dengan boleh memegang atau menyentuhnya sambil boleh menghidu bau pulpa kertas, ialah sesuatu yang tidak boleh diberikan oleh e-book.
Pasti ada generasi gajet ini yang akan menolak mentah tulisan ini, dengan mengatakan zaman sudah berubah, maka medium juga perlu berubah termasuk buku. Sedangkan “bapa” kepada teknologi yang kita pakai hari ini seperti Bill Gates dan Steve Jobs juga meletakkan had masa kepada anak-anak mereka menggunakan gajet. Menurut kajian ahli psikologi, telefor pintar sangat membahayakan minda kanak-kanak dan remaja. Ia antaranya dinyatakan dalam buku Screen Schooled: Two Veteran Teachers Expose How Technology Overuse is Making Our Kids Dumber. Setakat ini, belum ada kajian dibuat terhadap bahaya membaca buku.
Tulisan ini bukan antiteknologi tetapi hanya mahu mengatakan, buku masih relevan, buku masih panjang masa hadapan, dan buku tidak dapat mati.
Polisi kerajaan
Dalam hal ini, suka atau tidak suka kita kepadanya, polisi era Najib Razak lebih menggalakkan rakyatnya membaca. Dilaporkan pada era pemerintahannya, penerbit buku indie untung besar hasil program Baucar Buku yang diinisiatifkannya. Bahkan bukan sahaja baucar yang diberikan untuk pelajar supaya dapat membeli buku, bahkan bantuan seperti geran juga disediakan kepada para penerbit untuk menerbitkan buku. Jadi baik pelajar untuk membeli dan penerbit untuk menerbit buku, sudah tiada alasan lagi, pada eranya.
Kerajaan Malaysia sudah bertukar tiga kali selepas pemerintahan rejim Najib, tetapi Baucar Buku untuk menggalakkan rakyat membeli dan membaca buku tidak dapat diwujudkan kembali, meskipun di era kerajaan yang kononnya paling progresif di muka bumi iaitu Pakatan Harapan.
Untuk menggalakkan rakyat membaca buku, baik tua, muda, remaja, dewasa, lelaki dan wanita, dan seluruh bangsa yang berdiam di Malaysia, suka atau tidak suka, kerajaan harus mencurahkan lebih banyak bantuan dan galakan kepada dunia buku.
Untuk menjadi sebuah masyarakat dan negara maju, pasti tidak dapat dipisahkan dengan buku!
BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecilan, penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai