Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ismail yakin kedudukannya sebagai PM beri kelebihan pada BN

Ismail Sabri Yaakob memberi keyakinan kepada BN bahawa kedudukannya sebagai perdana menteri akan memberi kelebihan kepada gabungan itu.

"Percayalah, keberadaan saya di sini sebagai perdana menteri semestinya akan memberi kelebihan kepada parti kita, BN untuk terus membela nasib rakyat.

"Negara perlukan kestabilan, parti perlukan kesetiaan, rakyat perlukan pembelaan," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen BN di Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno berkata BN memikul cabaran besar berdasarkan ikrar untuk mengembalikan kemenangan dengan manjoriti dua pertiga.

Katanya, kerajaan BN yang kuat akan mewujudkan kestabilan politik dalam negara dan seterusnya mampu menyumbang kepada kemakmuran ekonomi rantau Asean.

Mengulas lanjut, Ismail berkata kekalahan BN dalam PRU14 lalu adalah pengajaran paling bernilai kepada gabungan itu.

"Kekalahan PRU14 adalah satu detik hitam yang memberi pengajaran paling bernilai kepada kita.

"Tragedi pada tahun 2018 itu menyaksikan perubahan landskap politik negara. Buat pertama kali selepas lebih 60 tahun mentadbir, BN gagal mengekalkan kuasa.

"Demi memastikan mimpi buruk 22 bulan tidak berulang, kita wajib bekerja keras, bersiap siaga dan bersatu padu, dalam menghadapi PRU15 yang akan tiba bila-bila masa dari sekarang, bagi mengekalkan rentak kemenangan," katanya lagi.