Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PH bantah cadangan PM untuk kembalikan semula GST

PH membantah cadangan kerajaan untuk mungkin memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan ketika pentadbiran gabungan itu.

Dalam kenyataan hari ini, Majlis Presiden PH berkata langkah itu akan meningkatkan lagi harga barang di tengah inflasi yang berlaku.

"Dalam keadaan inflasi yang semakin tinggi, rakyat sangat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup serta pendapatan isi rumah yang berkurangan akibat pandemik Covid-19.

"Pengenalan semula GST bakal mengakibatkan harga barang meningkat dengan mendadak.

"Jika ditambah dengan masalah rantaian bekalan serta gaji yang tidak meningkat, rakyat akan menerima tekanan yang amat dahsyat," kata Majlis Presiden PH.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Pengerusi Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden Upko Madius Tangau.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan berminat memperkenalkan semula sistem cukai itu walaupun sedar bahawa ia tidak popular.

Bagaimanapun, katanya, jika ia dikembalikan, kadar GST tidak akan membebankan tetapi pada masa sama tidak terlalu rendah.

Menurut Ismail, kerajaan hilang hasil tahunan RM20 billion ($4.57 billion) akibat pemansuhan cukai itu.

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH turut mengingatkan bahawa majoriti rakyat Malaysia telah menolak GST dalam PRU14.

Katanya lagi, di saat kerajaan berdepan masalah persepsi dari segi urus tadbir serta kemerosotan negara ke tangga ke-62 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International, tidak wajar untuk kerajaan mengutip lebih banyak cukai daripada rakyat.

Kerajaan sepatutnya terlebih dahulu membuktikan reformasi dan penambahbaikan urus tadbir yang telah dilaksanakan, katanya.

"Tiada guna mengutip lebih banyak cukai jika akhirnya nanti duit rakyat dibazirkan akibat rasuah, ketirisan dan kronisme," katanya yang turut membangkitkan kedudukan Malaysia di tangga kedua dalam indeks kapitalisme kroni yang dikeluarkan The Economist.

"Oleh itu, PH tidak bersetuju dengan cadangan memperkenal semula cukai GST selagi pelbagai isu ini terus membelenggu rakyat," kata Majlis Presiden PH lagi.