Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Berdialog, bukan padam dan sekat komen bakal guru, kata Teo

Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin digesa supaya berdialog dan berhubungan dengan bakal guru yang gagal menerima kontrak sewajarnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, jurucakap pendidikan DAP Teo Nie Ching berkata dia telah menerima aduan daripada bakal guru yang cuba menghubungi Radzi melalui Facebooknya.

Pengadu tersebut, kata Teo, menerima "kontrak perkhidmatan" selama dua tahun sedangkan mereka memiliki ijazah dalam pendidikan, yang sepatutnya melayakkan mereka mendapat kontrak Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (Gred DG41).

“Saya juga terima maklum balas daripada ramai calon Contract of Service 2021 bahawa komen mereka telah dipadam oleh admin Facebook page Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin.

“Antara mereka yang menghubungi Radzi melalui Facebook, ada juga yang telah disekat/block oleh admin beliau.

"Seruan saya kepada KPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, berdialog dan engage, bukan delete dan sekat,” kata Teo.

Ahli Parlimen Kulai itu menjelaskan rungutan pengadu berpunca daripada mereka yang sudah lulus peringkat temuduga pengambilan khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 secara one-off pada 2021.

Pengadu itu, katanya, tidak dilantik secara tetap atas alasan "dokumen tidak lengkap".

Namun, selepas berbulan menantikan hebahan keputusan rayuan, mereka sekarang sekadar ditawar "kontrak perkhidmatan" dua tahun yang dikhaskan untuk mereka yang tidak mempunyai ijazah dalam pendidikan.

Tujuan pelantikan secara kontrak adalah supaya mereka yang tanpa ikhtisas pendidikan tetapi berazam untuk menjadi seorang guru boleh mengikuti Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) di IPG dalam tempoh kontrak.