Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Najib: Rakyat perlu hukum PN kerana dosa besar pada negara

Rakyat perlu menghukum Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kerana "dosa besarnya" kepada negara apabila menggunakan alasan Covid-19 bagi menyelamatkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin yang tiada majoriti ketika itu.

Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa ada menteri ketika itu mengaku alasan Covid-19 digunakan kerajaan PN bagi mengelak undi tidak percaya di parlimen.

"Mereka mesti hukum PN juga sebab tipu nak lawan Covid-19 kena gantung parlimen. Padahal dia kecut perut nak berdepan dengan parlimen tiada majoriti. Itu sebenarnya.

"Ini bukan saya cakap. Ini saya tanya sendiri menteri dalam itu, dia mengaku, saya tak nak sebut nama dia, dia mengaku depan saya tujuan dia ialah untuk selamatkan kerajaan dari undi di parlimen, bukan nak lawan Covid.

“Maknanya mereka dah tipu pada rakyat, tipu pada Yang di-Pertuan Agong," dakwa Najib ketika berucap pada Konvensyen BN di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 25 Okt 2020, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak permohonan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat di negara ini akibat Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan dalam mesyuarat khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Muhyiddin pada 16 Ogos 2021 mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri Malaysia kelapan selepas hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Dia menegaskan keputusan itu dibuat selepas cadangan kerjasama bipartisan juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Dalam pada itu, Najib berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang dalam sejarah negara menyaksikan rakyat cukup terkesan sehingga mencatatkan jumlah kes bunuh diri yang tinggi.

"PKP yang paling panjang dalam sejarah Malaysia, sampai ribuan orang hilang kerja, peniaga gulung tikar, bunuh diri yang paling tinggi dalam sejarah kita.

"Ini semua dosa besar kepada rakyat Malaysia kerana kegagalan menguruskan Covid dan menipu rakyat. Ini sebab kita perlu tolak PN dalam PRU," katanya.