Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Konvensyen BN mungkin pertemuan terakhir sebelum PRU15

BN memberi gambaran konvensyen BN sempena ulangtahun BN yang ke-48 mungkin menjadi pertemuan terakhir sebelum menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan berkata PRU15 nanti akan menjadi PRU yang paling sengit dalam sejarah Malaysia moden.

"Perjumpaan hari ini sangat penting. Bukan sekadar untuk meraikan ulang tahun BN yang ke 48.

"Tetapi kerana, ini mungkin pertemuan terakhir kita, sebelum menghadapi pilihan raya yang paling sengit dalam sejarah Malaysia moden. Pilihan raya yang akan menentukan masa depan BN dan Malaysia.

"Justeru, marilah kita semua untuk duduk bersama-sama. Melihat secara jujur segala rencana dan pelan kita, dalam mengatur persedian menghadapi pilihan raya umum akan datang," kata Mohamad ketika berucap padan Konvensyen BN di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Jemaah Penasihat BN, Najib Razak, Setiausaha Agung BN, Zambry Kadir dan pemimpin parti komponen BN.

Dalam pada itu, Mohamad berkata BN tidak boleh lagi bernostalgia untuk memenangi pilihan raya dengan mudah.

Meskipun BN kini dalam kerajaan, namun BN hanya sebahagian daripada kerajaan yang tertakluk kepada perjanjian dan kerjasama termasuk dengan seteru.

"Untuk pilihan raya akan datang, pada saya, menang tipis atau sipi-sipi bukan pilihan sama sekali,” tegasnya.