Audit pemilihan PKR? Keputusan paling lewat minggu depan
PKR akan memutuskan paling lewat minggu depan, berhubung audit terhadap pemilihan parti, kata pengerusi jawatankuasa pemilihan Zaliha Mustafa.
Menurut laporan The Star, Zaliha berkata ini selepas aduan dibuat oleh bekas ketua PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
"Mereka minta audit forensik. Itu adil bagi saya. Jadi, kita boleh pertimbangkan untuk membuktikan integriti kita.
“Kami akan membuat keputusan secepat mungkin, kerana kami sedang melihat beberapa perkara lagi, seperti aduan. Kami harus membuat keputusan dalam masa seminggu," katanya.
Dia memberitahu The Star bahawa terdapat 'beberapa ratus aduan' daripada calon pemilihan tersebut.
"Kami mempunyai panel aduan untuk melihatnya. Ada aduan mengenai (beberapa perkara 'yang tidak kena' dalam pengiraan undi), tetapi kami masih memperincikannya," katanya.
PKR mengadakan pemilihan kepimpinan tiga tahun sekali awal bulan ini. Keputusan rasmi hanya akan diumumkan semasa kongres tahunan parti pada 25 Jun dan 26 Jun.
Pemilihan itu dijalankan menggunakan aplikasi telefon pintar Adil. Undian dibuat sama ada secara bersemuka melalui komputer tablet atau dari jauh, pada tarikh yang ditetapkan.
Proses pemilihan itu menyaksikan Farhash tewas kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dalam saingan merebut ketua Cabang PKR Gombak.
Farhash antara lain mendakwa proses pengiraan undi dijalankan tanpa kehadiran pemeriksa.
Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail pula mendakwa terdapat cabang yang bercanggah mengenai bilangan ahli yang benar-benar mengundi dan jumlah ahli yang mendaftar untuk mengundi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai