Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mat Hasan bimbang BN dikait ‘gila kuasa, korup'

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Mohamad Hasan menggesa gabungan itu supaya tidak terus terperangkap dalam ‘nostalgia silam’ selaku parti pemerintah.

"Kita tidak boleh leka dibuai nostalgia bahawa, BN akan memerintah semula, hanya kerana kita sekarang menjadi sebahagian dari kerajaan.

"Apa yang berlaku, dalam semua kemenangan pilihan raya kecil dan PRN Sabah, Melaka dan Johor, bukan jaminan bahawa BN akan pasti menang, dan menguasai kerajaan dengan mudah.

"Jika kita beranggapan sedemikian, maka saya tegaskan hari ini bahawa, anggapan seperti itu bukan sahaja salah.

"Malah, berbahaya dan berisiko kepada BN," kata Mohamad ketika berucap merasmikan Konvensyen BN sempena ulang tahun ke-48 gabungan parti politik itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur pagi ini.

Untuk mencapai kemenangan PRU15, katanya BN mesti menghentikan segala usaha menyajikan rakyat dengan perspektif bersandarkan persepsi mengenai tanggapan negatif terhadap gabungan itu.

"Bila saya bertanya, bagaimana boleh kita mengungkapkan Barisan Nasional, jawapan yang saya terima kebanyakannya ‘standard’.

"Rata-ratanya memberi jawapan, BN adalah parti politik pelbagai kaum. Atau BN adalah parti memerintah. Atau BN adalah gabungan pelbagai parti tetapi dikuasai Umno.

"Kalau jawapan versi yang lebih teruk pulak, BN dikaitkan dengan ‘gila kuasa, korup, salah guna kuasa dan pelbagai konotasi negatif’.

"Semua ini sangat membimbangkan. Kita dilihat sebagai satu parti politik dengan ‘status-quo’ yang negatif dan tidak memukau imaginasi,” katanya.

Justeru, Mohamad berkata BN “mesti mengubah persepsi yang toksik ini.”

"Sangat penting untuk kita, menampilkan BN yang bersifat sezaman, segar dan kalis masa depan.

"Kerana itu, bagi saya, kita mesti mengungkapkan semula BN ini sebagai ‘sebuah idea’ bukan sekadar sebuah perikatan politik," katanya lagi.