Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Hawana dan harga kebebasan media

ULASAN | Petang 29 Okt 1987 itu amat muram. Bilik berita yang selalunya riuh dengan bunyi ketukan mesin taip, gurau senda dan asap rokok, kelihatan berbeza daripada hari-hari yang lain.

Dua tiga wartawan bergegas ke bilik ketua pengarang Watan, Mohd Khairune Ali, dengan wajah panik.

Beberapa wartawan lagi mengekor ke bilik berkenaan sehingga sendat di dalamnya. Mereka baharu sahaja mendapat maklumat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) tentang penggantungan permit penerbitan akhbar Watan bersama dua media lain.

Wartawan Watan kebanyakannya masih muda. Bidin Beseri Saad, Kamal Ahmad, Harris Ribut, Azlan Ghanie, Nazri Hashim dan Misron Mat Leham sering menjadi buruan orang politik untuk menghebahkan suara mereka yang ketika itu sukar mendapat tempat di media perdana.

Malaysia memang terkenal dengan kawalan media yang luar biasa. Hanya orang tertentu mendapat tempat di media perdana. Watan dan The Star dianggap suara orang di luar kerajaan yang tentunya melaporkan hal-hal yang dianggap sensitif di mata penguasa.

Politik Malaysia amat kecoh dan tidak menentu ketika itu. Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad, dicabar Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan tertinggi dalam parti. Tengku Razaleigh disokong Musa Hitam untuk menjatuhkan Dr Mahathir yang berkuasa penuh.

Mengundang kesan politik

Pertarungan heavyweight tentunya memakan korban yang tidak kecil. Di beberapa negeri, jawatan penyelia khas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) digugurkan oleh Sanusi Junid selaku Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Kemas dikaitkan sebagai penyokong Tengku Razaleigh. Ramai kakitangan Kemas dilucutkan jawatan bagi memastikan kelangsungan pimpinan Dr Mahathir.

Kuala Lumpur ketika itu amat panas dengan kenyataan politik yang tidak terkawal. Pemuda Umno mencabar pemimpin MCA dalam beberapa isu membabitkan kaum. DAP - yang sentiasa dilabel pelampau oleh politikus Melayu - diheret bersama dan dituduh rasis.

Kenyataan demi kenyataan orang politik dibuat dan lazimnya ia sukar dibuktikan. Walaupun mendapat sokongan daripada pengikut masing-masing namun kebenaran di sebalik kenyataan mengundang pelbagai kesan politik.

Politik memberi kesan kepada ekonomi ketika Malaysia pada masa itu sedang meningkat sebagai harimau ekonomi Asia di belakang Jepun dan Korea Selatan.

Alasan itulah diperguna oleh penguasa sehingga kini untuk mengawal media bagi mendekam suara berbeza yang kononnya boleh menjejaskan kestabilan politik, perpaduan dan ekonomi negara.

Media menjadi alat untuk menyelamatkan penguasa.

Saya memerhatikan suasana di pejabat Watan dari ruang sebelah. Ketika itu saya bertugas di akhbar Bacaria. Kami berkongsi tingkat yang sama dengan Watan.  

Kedua-dua akhbar terbitan Kumpulan Karangkraf itu beroperasi di Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail.

Melayan ‘wahyu’ dari Seri Perdana

Ada yang menitiskan air mata kerana penggantungan permit akhbar bermakna penutupan periuk nasi. Pada usia yang muda tentunya terlalu banyak komitmen yang perlu mereka lunaskan.

Sehingga kini ramai rakan wartawan di Watan yang tidak saya temui lagi selepas mereka membawa diri masing-masing apabila permit penerbitan digantung.

Memang benarlah kata A Samad Said dalam novel Hujan Pagi: Wartawan sejati jarang makan gaji, tetapi selalu makan hati!

Apabila Watan diterbitkan semula selepas enam bulan, saya bersama Jamaludin Aziz ditugaskan membantu Malungun (Amir Hamzah Shamsudin) menggerakkan media yang sentiasa dipandang kiri.

Malungun hanya bertahan beberapa bulan sebelum diganti oleh A Jalil Ali.

Beberapa wartawan lain menyertai kami kemudian, termasuk Daud Ibrahim, V Ashok, Mohd Shah Abdullah, Shahbudin Hussein, Noraini Nordin, Zulkiflee Bakar, Sharifah Abu Salem, Azhar Md Taib, Zulkifli Jamaludin dan Saleeh Rahamad.

Tajuddin Abdul Rahman (dua dari kiri) melawat pejabat Watan selepas akhbar itu diizin diterbitkan semula

Bagaimanapun tugas kami tidak mudah. Watan bukan sahaja berdepan cabaran dari segi tenaga kerja dan kos operasi, malah 'wahyu' dari Seri Perdana.

Kami sentiasa diperhatikan. Banyak berita yang mendorong kami mengurut dada kerana mendapat amaran daripada pimpinan negara. Laporan  tentang Bursa Saham Kuala Lumpur yang memetik kenyataan Salleh Majid mengenai saingan saham dari Singapura misalnya, dianggap menjejaskan ekonomi Malaysia.

Apabila media terlalu dikawal, ia bukan sahaja menjejaskan reputasi pemberitaan, juga memberi kesan kepada etika kewartawanan itu sendiri.

Dekad 1980-an itu sama seperti era sebelumnya - gelap atau pun setidak-tidaknya malap. Media baru dan media sosial seperti sekarang belum ada.

Lim Kit Siang diwawancara Timbalan Pengarang Watan, Jamaluddin Aziz (tengah) dan Imlan

Masyarakat hanya mendapat maklumat sebelah pihak. Akhirnya Watan era Karangkraf berhenti operasi apabila jualannya merudum.

Saya ucapkan tahniah kepada penganjur Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 di Melaka pada 29 Mei lalu. Ia kononnya pengiktirafan terhadap peranan wartawan tempatan dan platform untuk memperkukuh ekosistem kewartawanan negara.

Bagaimanapun Hawana bukan jaminan kepada kebebasan kewartawanan akan diutamakan kerana rekod membuktikan terlalu banyak cengkaman terhadap media dikenakan.  

Jika akta kuno yang ada sekarang tidak dihapuskan, kebebasan kewartawanan akan terus menjadi angan-angan.

Media jadi mangsa

Pengalaman pada 1987 dan selepasnya amat memeritkan. Tekanan terhadap The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan dalam Ops Lalang memberi gambaran demokrasi itu sebenarnya mudah dicabar.

Tindakan terhadap lebih 100 pemimpin dan aktivis politik membuktikan kebebasan juga mudah dipersenda. Adakah penganjur Hawana itu sedar dan meneliti keadaan berkenaan?    

Kebebasan editorial The Star dipersoal ramai apabila Huaren Holdings - syarikat pelaburan milik MCA - mengambil alih akhbar itu. Watan pula dikuasai oleh keluarga bendahari Umno yang kononnya lebih bebas.

Sudirman di pejabat Bacaria. Dia merupakan penulis untuk akhbar berkenaan.

Beberapa kejadian membuktikan kebebasan media tidak berlaku. Pada Jan 2003, pejabat Malaysiakini diserbu dan 19 komputer dari jabatan editorial dirampas.

Portal itu juga ditutup sementara ekoran rampasan berkenaan sebelum ia kembali beroperasi dalam masa 10 jam kemudian menerusi bantuan penyokong yang meminjamkan komputer masing-masing.

Pada Feb 2010, Menteri Dalam Negeri mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada The Star susulan komen yang ditulis seorang editornya, P Gunasegaram, berhubung hukuman rotan terhadap tiga wanita Muslim yang didapati bersalah atas tuduhan berkaitan seks.

Surat itu dikeluarkan sehari selepas The Star membuat permohonan maaf kerana menyiarkannya, dengan mengatakan ia tiada niat untuk menghina atau mengguris orang Islam.

Pada April 2010 pula, penerbit kanan Joshua Wong meletakkan jawatannya sebagai produser rancangan bual bicara hal ehwal semasa selepas mendakwa amalan "tapisan melampau dan campur tangan kerajaan".

Pada bulan sama, dokumentari sembilan episod tentang Empangan Bakun yang disiarkan di saluran TV2 juga dihentikan kerana berlangsungnya pilihan raya kecil Sibu.

KDN menggantung lesen The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan bermula 27 Julai 2015 ekoran laporan mereka berkenaan 1MDB.

Hanya untuk selamatkan seorang yang terkenal daripada tuduhan korup dan salah guna kuasa, media menjadi mangsa. Menurut kenyataan daripada The Edge Media Group, surat KDN menyatakan laporan 1MDB itu berprasangka buruk dan boleh memudaratkan ketenteraman awam dan negara.

Ada tugasan lebih besar

Pada Feb 2016,  portal The Malaysian Insider disekat kerana laporan penyelewengan 1MDB. Sebulan kemudian, pemiliknya The Edge Media Group memutuskan untuk menutup portal tersebut atas alasan 'komersial'.

Bagaimanapun pada 2017, portal itu kembali dengan nama baru The Malaysian Insight.

Wartawan South China Morning Post yang berpangkalan di Malaysia, Tashny Sukumaran, disiasat pada Mei 2020 susulan ciapan berhubung serbuan migran di Selangor Mansion, Kuala Lumpur.

Tindakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang Covid-19 menyaksikan pihak berkuasa menjalankan operasi terhadap migran tanpa dokumen. Susulan operasi tersebut, Al Jazeera telah menyiarkan dokumentari bertajuk Locked Up in Malaysia's Lockdown yang kemudian menyaksikan enam pekerjanya di Malaysia berdepan siasatan.

Kita setuju Hawana dianjurkan setiap tahun bagi meraikan kewartawanan di Malaysia. Peranan dan sumbangan mereka amat besar. Kita wajar menghargai tokoh lama yang kerana tulisan mereka, terpaksa merengkok beberapa tahun dalam penjara.

Semangat dan perjuangan Pak Sako, A Samad Ismail, Said Zahari dan Halim Mahmod misalnya, wajar dikenang. Mereka bertahun-tahun dalam tahanan kerana cetusan minda yang dianggap berbeza.

Pada masa sama wartawan semasa wajar dihormati kerana komitmen menyampaikan berita kepada masyarakat ketika media tradisional dicabar  media digital dan media sosial.

Hakikat yang perlu direnung ialah Malaysia kini berada di tangga ke-113 daripada keseluruhan 180 negara dalam Indeks Kebebasan Media Global 2022 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RSF).

Berdasarkan indeks tersebut, Malaysia berjaya memperbaiki kedudukannya tahun ini, selepas mencatatkan kedudukan terburuk tahun lepas, iaitu di tangga ke-119, penurunan sebanyak 18 anak tangga.

Berdasarkan skor yang dicatatkan, Malaysia berjaya memperolehi 51.55 mata, jauh lebih baik berbanding negara rantau Asia Tenggara yang lain.

Hawana tentunya bukan sekadar majlis makan-makan dan bersalaman. Wartawan ada tugasan lain yang lebih besar. Hawana sepatutnya bukan mengenai pejuang suara kerajaan sahaja. Hawana bukan hawau.

Penyebaran maklumat bukan sekadar kebenaran, juga kemanusiaan yang perlu dipertahankan! 


IMLAN ADABI ialah sasterawan dan mantan penulis khas Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.