Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

AKSB selesaikan projek tukar paip sepanjang 87km sejak 2021

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berjaya menyelesaikan projek penukaran paip sepanjang 87 kilometer (km) melibatkan kawasan jajahan Kota Bharu, Tumpat dan Gua Musang sejak ia mula dilaksana pada 2021.

Menteri Besar Ahmad Yakob berkata semua projek penukaran paip di seluruh Kelantan dijangka siap sepenuhnya secara berperingkat berdasarkan pelan Induk AKSB 2021-2030.

Ahmad berkata bagi paip lama dan uzur pula, penukarannya dilaksana pada tahun ini iaitu sepanjang 340 km di Kota Bharu, Tanah Merah, Kuala Krai dan Machang.

"Pihak pengurusan Aset Air Berhad juga dalam proses melantik perunding untuk melaksanakan projek penukaran paip melibatkan seluruh jajahan Bachok sepanjang 220 km yang akan mula dilaksana pada 2023," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Ketereh di Kota Bharu hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar AKSB Ir Dr Azuhan Mohamed.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata kawasan yang sudah selesai penukaran paip menunjukkan peningkatan dari segi tekanan air selain berjaya mengatasi isu kebocoran sekali gus mengurangkan gangguan bekalan seperti Dusun Muda dan Tanjung Chat di Kota Bharu dan Jalan Kelaboran sehingga Chabang Neting di Tumpat.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air yang memberi komitmen melalui peruntukan serta sokongan kepada Kelantan meningkatkan bekalan air kepada rakyat Kelantan," katanya.

-Bernama