Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Saksi nampak Bella baring di lantai tanpa alas, kesan lecur di leher

Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa dia nampak remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella baring di lantai bilik dobi di sebuah kondominium di Wangsa Maju tanpa dialas dengan selimut dan tilam selain terdapat kesan lecur pada leher mangsa.

Pegawai Penyelidik Undang-Undang di sebuah firma guaman Suhana Zam, 40, berkata ketika itu dia ingin membuang sampah di bahagian bilik dobi tersebut pada kira-kira empat pagi.

"Pada hari itu, saya telah melakukan kerja-kerja pejabat hingga jam empat pagi. Semasa hendak membuang sampah, saya tidak membuka lampu.

“Saya tersepak Bella yang sedang baring di lantai bilik dobi dan saya terkejut serta tergamam kerana itu kali pertama saya melihat Bella berada dalam keadaan tersebut," kata saksi pendakwaan kelapan itu semasa pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Nor Azizah Mohamad pada perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali.

Nor Azizah: Kamu tersepak Bella dan apa tindakan kamu?

Suhana: Bella baring mengiring sebelah kiri, dia mengerekot, saya terlanggar tapi dia tidak terkejut pun. Saya terhenti 10 hingga 15 saat, saya pandang dia, saya tidak percaya (dengan) apa yang saya lihat.

"Lepas itu saya tutup dan kunci pintu, lampu ditutup dan masuk bilik untuk tidur. Saya cuba tidur tetapi tidak boleh sebab terbayangkan keadaan Bella.

“Ketika itu, kakak Haiza tidur sebelah saya dan saya cakap kepadanya 'akak tahu Bella tidur di mana?' namun saya tidak memberitahunya sebab ketika itu, Syahirah ada bersama kami," katanya.

Suhana berkata dia menyaksikan insiden itu ketika menghadiri majlis sambutan Hari Raya bersama Siti Bainun serta penghuni unit kondominium tersebut dengan kakak angkatnya Haiza pada 21 Mei 2021.

“Saya tiba di sana dalam tengah hari dan merancang untuk duduk selama dua hari. Apabila saya masuk ke tempat itu, saya nampak Bella berdiri di tepi dinding menghadap meja makan dan terdapat kecederaan pada leher Bella iaitu kulitnya melecur serta merah-merah," katanya sambil memaklumkan semasa jamuan Hari Raya itu, Bella berdiri di tepi peti ais dan hanya memakai kemeja T serta seluar.

"Ketika itu, Siti Bainun menyuruh seorang penghuni rumah yang dikenali sebagai Aida menukar pakaian Bella selepas Kak Haiza memanggil Bella untuk menyertai sesi bersalaman di ruang tamu… Saya dengar Bainun cakap betulkan butang baju tu, bagi tinggi sikit nanti orang nampak kata dera pula," katanya sambil menambah mangsa kelihatan ceria dan tersenyum apabila dapat turut serta dalam sesi bersalaman itu.

Saksi itu juga berkata dia ada bertanya kepada Siti Bainun mengenai kecederaan Bella dan tertuduh memaklumkan bahawa mangsa ‘main simbah-simbah air panas’ dengan adik-beradiknya.

Nor Azizah: Siapakah yang dikatakan adik-beradik Bella?

Suhana: Aida dan Balqis tidak termasuk Yasmin, itu yang saya tahu. Saya cakap pada Siti Bainun takkan kau biar budak-budak bergaduh macam itu dan Siti Bainun menjawab 'Saya tidak boleh nak buat apa sebab Aida kalau dah marah, hilang akal.’

Semasa tidur di kondominium itu pada April 2021, Suhana berkata Bella berdiri di tepi dinding dan kelihatan tidak ceria, bermuka masam serta tidak berani memandang ke arahnya namun dia tidak berkata apa-apa dan hanya menonton televisyen.

Disoal Nor Azizah berapa lama Bella berdiri di lokasi tersebut dan Suhana menjawab: Saya sampai di kondominium itu lebih kurang sembilan malam dan masa saya sampai, Bella sudah berada di situ. Apabila saya nak masuk tidur pada pukul 12 tengah malam, Bella masih di situ. Saya nampak Bella sedih, takut, tidak bercakap dan hanya pandang lantai.

Nor Azizah: Kamu ada bertanya kepada Siti Bainun kenapa Bella begitu?

Suhana: Bella kena denda tetapi saya tidak tanya Siti Bainun, Bella didenda sebab apa.

Nor Azizah: Kamu tidur di kondo itu berapa malam?

Suhana: Saya tidur hanya semalam tapi Siti Bainun ajak saya ke rumah Zurianty kerana ada sambutan hari jadi Jane iaitu seorang daripada kanak-kanak di bawah jagaan Siti Bainun dan Bella tidak ikut serta ditinggalkan seorang diri di kondominium tersebut.

Saksi itu berkata dia juga pernah melihat Bella berdiri di tempat sama lebih sepuluh jam semasa ke kondominium tersebut untuk berbuka puasa dengan Siti Bainun di sebuah restoran di Chow Kit selain memaklumkan tertuduh telah memberikan kertas dan pensel untuk Bella melukis dari pagi sampai ke malam.

"Saya rasa keadaan itu tidak selesa dan saya lihat Bella sampai nak tertidur. Balqis kemudian menjerit dan beritahu Bella nak tertidur.

“Siti Bainun dari biliknya menjerit kuat gila sambil kata lukis dan Bella kemudian menyambung lukisannya," katanya.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan hakim Izralizam Sanusi bersambung 13 Jun ini.

-Bernama