Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Deepak cuba lagi kembalikan saman terhadap Najib

Ahli perniagaan, Deepak Jaikishan memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang sebelum ini menolak permohanannya untuk mengembalikan saman terhadap Najib Razak, Rosmah Mansor dan tiga yang lain.

Yang turut disaman termasuklah bekas Pengerusi Tabung Haji, Abdul Azeez Abdul Rahim, Boustead Holdings Berhad dan anak syarikatnya Bakti Wira Development Sdn Bhd.

Menerusi saman sivil terhadap Najib, Rosmah dan Abdul Azeez, Deepak dan dua plaintif lain - iaitu abangnya J Rajesh dan syarikat adik-beradiknya, Radiant Splendor Sdn Bhd - mendakwa defendan melakukan konspirasi yang mengakibatkan mereka mengalami kerugian.

Saman sivil kedua itu menamakan Najib, Rosmah, Boustead dan Bakti Wira sebagai defendan berkaitan dengan perjanjian tanah.

Dalam satu kenyataan media hari ini, ahli perniagaan itu berkata plaintif telah memfailkan permohonan semakan di mahkamah tertinggi itu memandangkan saman sivil itu melibatkan "dakwaan salah guna kuasa, salah guna jawatan awam dan konspirasi yang telah menyebabkan saya mengalami prejudis teruk".

“Memandangkan dakwaan saya ditolak, perkara ini tidak akan menjadi subjek perbicaraan dan malangnya tidak berpeluang untuk didengari oleh seluruh negara melalui perbicaraan penuh.

“Walaupun saya menghormati keputusan mahkamah, namun memandangkan sifat salah laku yang didakwa, dan salah guna kuasa, saya telah mengarahkan peguam cara saya memfailkan permohonan menurut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 untuk menyemak keputusan tersebut.

“Mahkamah Persekutuan telah mengenepikan kebenaran merayu saya dan forum perbicaraan penuh yang sepatutnya untuk mendedahkan penyelewengan yang keji oleh najib dan kumpulannya,” kata Deepak.

Pada Jumaat lalu, tiga hakim Mahkamah Persekutuan - diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf memutuskan tiada kesilapan dalam keputusan Mahkamah Rayuan pada 29 April lalu yang menolak rayuan terdahulu oleh tiga plaintif untuk mengembalikan saman itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini menolak saman berkenaan.

Melalui saman sivil terhadap Najib, Rosmah dan Abdul Azeez, plaintif mendakwa defendan telah melakukan tort konspirasi, penipuan, penyalahgunaan proses dan/atau perlakuan yang tidak mengikut undang-undang.

Berhubung tindakan sivil membabitkan syarikat Bakti Wira Development Sdn Bhd, Deepak mendakwa perjanjian tanah menyebabkan syarikatnya mengalami kerugian besar.