Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

2 polis hadapi tuduhan cabul, peras ugut lega dibebaskan mahkamah

Dua anggota polis menzahirkan rasa syukur dan lega apabila dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas lapan pertuduhan termasuk melakukan seks oral, mencabul dan memeras ugut sepasang kekasih di Pengkalan Chepa pada Disember 2020.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Koperal Mohd Hanafi Mohd Zaki, 37; dan Lans Koperal Mohammad Izauddin Abdul Wahab, 32.

Ahmad Bazli dalam penghakimannya berkata, selepas meneliti dan mempertimbangkan hujahan semua pihak, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Hanafi dan Mohammad Izauddin.

"Mahkamah melepaskan dan membebaskan kedua-dua tertuduh tanpa perlu membela diri daripada kesemua pertuduhan," katanya.

Mohammad Izauddin ketika ditemui berkata, sepanjang lebih setahun ini dia dan rakannya ditahan kerja dan hanya melakukan kerja kampung bagi menampung keperluan hidup.

Katanya, selain itu, mereka sekeluarga juga terpaksa menanggung malu berikutan kes itu ditularkan di media sosial.

"Alhamdulillah, akhirnya kebenaran berpihak kepada kami sekali gus dapat membersihkan nama saya sekeluarga," katanya yang juga bapa kepada seorang anak.

Dalam kereta Honda

Kes dikendalikan timbalan pendakwa raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Majdah Mohamad dan Mohd Firdaus Zainal Abidin.

Sebelum ini kedua-dua anggota polis terbabit didakwa mengarahkan seorang lelaki melakukan kelucahan melampau terhadap pasangannya yang berusia 20 tahun di kawasan kilang terbiar di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, jam 10.45 malam, pada 4 Disember 2020.

Mereka turut didakwa secara bersama mengarahkan mangsa wanita melakukan seks oral terhadap mangsa lelaki serta melakukan pemerasan ugut dengan meminta wang RM1,250 sebagai dorongan supaya tidak dirujuk ke pejabat agama.

Kesalahan didakwa dilakukan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan dengan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

Mohd Hanafi turut didakwa mencabul mangsa wanita dan mengarahkan mangsa lelaki berbogel bagi mengaibkan kehormatannya di dalam kereta Honda Civic di lokasi sama.

Kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 kanun yang sama.

Mohammad Izauddin pula dituduh menumbuk mangsa lelaki, mengarahkan mangsa wanita berbogel dan melakukan persetubuhan luar tabii.

Perbuatan itu dilakukan di Jambatan Pak Nik Lah dan di tempat letak kereta di sebuah masjid di Padang Tembak, jam 10.45 malam hingga 12 tengah malam.

Pendakwaan kes itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 kanun sama.