Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Adam, Fahmi ikrar kerja satu pasukan

PEMILIHAN PKR | Saingan antara dua bekas aktivis pelajar dalam merebut jawatan ketua Pemuda PKR (AMK) sudah sampai ke penghujung garis penamat.

Difahamkan Adam Adli Abdul Halim telah menang dengan kelebihan 1,762 undi, melalui satu pengiraan pilihan raya tidak rasmi yang dilihat oleh Malaysiakini.

Walaupun keputusan pemilihan hanya akan diumumkan secara rasmi oleh parti bulan depan, kemenangan Adam turut diakui lawannya Fahmi Zainol ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Fahmi - yang memperoleh 11,888 undi - memberitahu Malaysiakini bahawa dia menyokong penuh Adam menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

"Semalam sudah mengucapkan tahniah kepada beliau semoga maju jaya.

"Ya kita akan memberi sokongan yang penuh kepada sesiapa yang menang untuk memastikan PRU15 akan memberi kesan yang positif kepada PKR," kata Fahmi (gambar, bawah).

Perkara ini juga disahkan Adam sendiri - dalam perbualan dengan Malaysiakini - yang bercakap secara ringkas mengenai kemenangannya.

Selepas mendapat tahu keputusan pemilihan AMK, Adam berkata dia "gembira, bersyukur dan lega".

Sungguhpun begitu, dia berkata kemenangannya datang dengan kesedaran bahawa menang jawatan ketua AMK bukanlah satu ‘kemenangan’ – sebaliknya, ia tanggungjawab yang kini mesti dipikulnya dengan baik.

“Saya ingin menekankan bahawa saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan semua orang.

"Menjadi hasrat saya untuk melihat kerjasama berpasukan AMK yang lebih baik kerana kita perlu bersedia untuk cabaran yang akan datang,” kata Adam.

Pemilihan PKR menyaksikan bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli membuat keputusan besar apabila kembali ke dunia politik - dengan tiga daripada empat naib presiden yang dilantik berada dalam kemnya manakala Rodziah Ismail yang juga sekutunya pula menang ketua wanita PKR.

Pun begitu, ketika kempen pemilihan, Adam, bersama timbalan ketua wanita Juwairiya Zulkifli, tidak sehaluan dengan kem Rafizi.

Ketika ditanya, Adam menolak kebimbangan mengenai kemungkinan PKR menjadi berpuak-puak, berkata ia bukan isu.

“Kami semua bersetuju untuk menghormati proses dan menghormati hak demokratik ahli. Menjadi tanggungjawab kita sebagai pemimpin yang dipilih untuk memenuhi kehendak pengundi.

"Bagi saya, sejak hari pertama, saya telah menggalakkan dan mempromosikan kerja berpasukan," jelas Adam.