Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Reunion Tentera: Tetap berhimpun walau ada halangan

Penganjur himpunan Reunion Veteran mendakwa mereka berdepan dengan pelbagai kesukaran bagi merealisasikan program tersebut minggu depan.

Seorang daripada ahli jawatankuasanya, Left Komander (B) Rafique Ali berkata antara halangan yang dihadapi ialah keengganan pihak berkuasa memberikan kerjasama.

Turut menjadi isu, katanya, ialah ugutan dan tohmahan yang didakwanya dilakukan pihak lain.

“Kami sudah pergi ke pihak berkuasa untuk berbincang hasrat program kami pada 6 Jun ini. Tetapi mereka boleh dikatakan merumitkan keadaan. Permohonan kami ditolak tanpa sebab," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur semalam.

Menurut Rafique apabila ditanya mengenai isu yang menghalang kelulusan diberi, ia dikaitkan dengan undang-undang kecil, prosedur operasi standard dan seumpamanya.

“Kami sudah rujuk perkara ini kepada ahli undang-undang, (dan kami diberitahu) itu sebenarnya tidak patut menjadi sebab untuk menghalang kami berkumpul.

“Setiap agensi kerajaan yang menjaga aset negara kalau rakyat hantar permohonan untuk guna, jika ditolak, perlu dinyatakan alasan yang kukuh,” katanya.

Menakut-nakutkan veteran

Pada minggu lalu, sekumpulan pesara tentera yang bercadang untuk mengadakan perhimpunan di ibu kota bagi menyuarakan ketidakpuasan hati berkaitan hak kebajikan mereka.

Antara lokasi berhimpun yang dipertimbangkan mereka ialah Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dataran Merdeka dan Padang Merbok.

Bagaimanapun sehingga kini DBKL belum memberikan sebarang kebenaran untuk perhimpunan tersebut.

Sementara itu Mejar (B) Mior Rosli Mior Rosdi juga turut mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang dianggapnya seakan-akan memilih bulu.

“Pada 28 Mei, DBKL ada meluluskan dan membenarkan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan menggunakan Dataran Merdeka untuk sambutan Aidilfitri," katanya.

Mempersoalkan majlis berkenaan, Mior Rosli berkata, jika kebimbangan terhadap penularan Covid-19 menjadi punca, pertemuan Aidilfitri itu lebih berisiko.

“Kami akan tetap teruskan program ini. Jika ada tentangan berterusan daripada pihak berkuasa, kami akan cabar di mahkamah,” katanya.

Selain itu, Mior Rosli juga mengatakan ada pihak luar yang tidak senang dengan gerakan mereka untuk berkumpul sehingga ada yang sanggup menakut-nakutkan veteran dari menyertai program itu.

Katanya ada pihak mendakwa mereka mahu merusuh dan menghasut veteran tentera supaya membenci kerajaan.

Jika ada antara mereka yang menyertai perhimpunan berkenaan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan yang membolehkan seseorang pesalah dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda beratus ribu ringgit.

“Adakah kita ini seperti perhimpunan Bersih dan Reformasi? Tidak sama sekali. Kami hanya mahu berkumpul dan memahamkan ahli-ahli kami tentang hak mereka.

“Kami akan berkumpul mengikut garis panduan seperti yang tertulis dalam Akta Perhimpunan Aman 2012, dan rakyat negara ini memang ada hak untuk berhimpun sesuai dengan peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Perkara 10," katanya.

Mengenai ugutan akan ditarik pencen jika terlibat dengan perhimpunan berkenaan, Mior Rosli menjelaskan, hal itu tidak boleh berlaku.

Katanya pencen veteran tentera juga dijamin oleh Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

Berkenaan dakwaan mereka berkumpul kerana pengaruh politik, Mior Rosli berkata, ramai orang masih belum faham maksud perkataan tersebut.

"Dalam keluarga kita sendiri kalau ada pertikaian tanah dan harta pusaka, itu juga adalah politik.

“Justeru ini adalah politik veteran Angkatan Tentera Malaysia untuk mendesak kerajaan memberikan hak mereka. Bukannya politik kepartian,” katanya.