Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tiga lebuh raya - 13 soalan, termasuk jumlah rumah perlu diroboh

KATA MP l Saya merujuk kepada laporan media di mana Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof, yang mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan telah meluluskan rancangan untuk membina tiga lebuh raya baru iaitu PJD Link, Bangi-Putrajaya Expressway (BPE) dan KL Node.

Susulan pengumuman ini, saya tujukan soalan-soalan berikut kepada Unit Kerjasama Swasta Awam (UKAS), satu unit di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan beberapa soalan khusus untuk syarikat konsesi BPE.

Soalan untuk Unit Kerjasama Swasta Awam (UKAS)

  • Apakah kos yang dianggarkan untuk pembinaan setiap lebuh raya yang diumumkan ini?

  • Siapakah konsesi untuk setiap lebuh raya ini dan adakah konsesi ini dipilih melalui tender terbuka? Jikalau kaedah tender terbuka tidak dipilih, apakah kelayakan syarikat-syarikat konsesi ini yang membolehkan mereka dilantik oleh pihak UKAS untuk melaksanakan projek lebuh raya ini?

    Adakah syarikat-syarikat konsesi ini mempunyai pengalaman dan “track record” yang cukup teguh untuk memberi keyakinan kepada pihak UKAS yang mereka akan dapat melaksanakan projek-projek ini dengan baik?

  • Berapa banyak geran kerajaan telah diperuntukkan untuk setiap lebuh raya ini? Apakah asas peruntukkan ini?

  • Adakah “soft loan” juga akan ditawarkan kepada syarikat-syarikat ini oleh kerajaan (UKAS ataupun Kementerian Kewangan) dan jikalau ada, berapa banyak untuk setiap lebuh raya?

  • Apakah terma dan syarat dalam perjanjian konsesi (“concession agreement”) termasuk kadar tol, sama ada kadar tol akan dinaikkan dalam masa yang ditetapkan dan pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan jikalau kadar tol tidak dinaikkan?

  • Soalan khusus untuk Bangi-Putrajaya Expressway (BPE)

  • Apakah “track record” syarikat konsesi BPE dalam pembinaan dan operasi lebuh raya? Berdasarkan taklimat yang diberikan kepada saya, nama Syarikat Konsesi untuk BPE adalah “Bangi Expressway Sdn Bhd”. Semakan rekod Syarikat Suruhanjaya Malaysia (SSM), “Bangi Expressway” dimiliki 100 peratus oleh syarikat “MIL-TECH Sdn Bhd”. Selapas siasatan, saya dapati bahawa pemegang saham “MIL-TECH Sdn Bhd” adalah sama dengan pemegang saya “MIL-TECH Internasional” yang didakwa oleh Rafizi Ramli pada tahun 2016 telah menjual sebuah bangunan di Perth, Australia, kepada kerajaan Malaysia dengan harga melambung (“inflated price).

    Saya tidak dapat mencari apa-apa lagi maklumat yang menunjukkan bahawa syarikat “MIL-TECH Sdn Bhd” ini ada pengalaman dan “track record” dalam pembinaan dan operasi mana-mana lebuh raya di Malaysia ataupun luar negara.

Soalan untuk Kementerian Kerja Raya (KKR)

  • Apakah anggaran aliran trafik untuk ketiga-tiga lebuh raya ini? Bolehkah KKR memberi akses umum (“public access”) untuk semua kajian aliran trafik yang telah dilakukan sebagai bukti bahawa lebuh raya ini betul-betul boleh mengurangkan kesesakan trafik di kawasan-kawasan terlibat?

Soalan untuk Kementerian Pengangkutan

  • Adakah laluan Bus Rapid Transit (BRT) dipertimbangkan sebagai alternatif kepada laluan lebuh raya untuk ketiga-tiga laluan ini?

  • Soalan khusus untuk BPE:

Adalah laluan BPE akan menggunakan laluan yang sebelum ini dicadangkan untuk projek rail Kajang-Putrajaya?[3] Apakah status terkini projek ini dan mengapakah ia tidak diberikan prioriti yang lebih tinggi berbanding dengan cadangan lebuh raya BPE?

Soalan untuk syarikat konsesi BPE

  • Apa akan jadi kepada projek Denai Sungai Kebangsaan di Sungai Langat di luar UKM yang merupakan sebahagian daripada laluan lebuhraya BPE yang dicadangkan?

  • Apakah langkah yang boleh diambil untuk member kepastian kepada penduduk di tepi lebuh raya khususnya di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, yang bunyi dan habuk daripada kereta di lebuh raya ini boleh dikurangkan kepada satu tahap yang tidak akan mengganggu penduduk di persekitaran?

  • Berapa jumlah rumah perlu dirobohkan dan berapa pampasan yang akan dibayar kepada pemilik rumah di kawasan di mana pengambilan tanah perlu dilakukan untuk lebuh raya ini khususnya di Kampung Sungai Tangkas?

  • Adakah syarikat konsesi bersedia, bersama dengan KKR, untuk memberikan taklimat umum kepada penduduk di Semenyih, Kajang dan Bandar Baru Bangi untuk mendengar pendapat rakyat di kawasan-kawasan ini mengenai projek ini?

Projek lebuh raya seperti yang dicadangkan akan ada impak jangka masa panjang kepada landskap, cara kehidupan dan kadar pembangunan di kawasan-kawasan terlibat. Proses untuk meluluskan projek seperti ini tidak boleh dilakukan secara terburu-buru tetapi sebaliknya perlu ketelusan dari segi maklumat dan keterbukaan dari segi perbincangan umum.


DR ONG KIAN MING ialah Anggota Parlimen Bangi dari parti DAP.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.