Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tian Chua tersungkur di Batu

Pemimpin lama dalam PKR, Tian Chua kecundang dalam perebutan jawatan ketua cabang PKR Batu selepas tewas kepada pencabarnya, P Prabakaran.

Tian yang merupakan penyandang bagi jawatan naib presiden memperoleh 306 undi manakala lawannya mendapat 517 undi.

Sebanyak 82 undi ragu dikemukakan terhadap Prabakaran, manakala 24 lagi dikemukakan kepada Tian Chua.

Undi ragu diasingkan daripada pengiraan kerana memerlukan pengesahan lanjut daripada jawatankuasa pemilihan PKR sebelum ia boleh disahkan.

Bagaimanapun, undi ragu tidak mencukupi untuk mengubah keputusan pemilihan PKR di cabang berkenaan.

Pada pemilihan kali ini, Tian tidak mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden dan hanya bertanding jawatan ketua cabang PKR.

Pada pemilihan 2018, pemimpin PKR itu menyokong Prabakaran selepas dia hilang kelayakan untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu.

Jurang antara mereka semakin melebar selepas Langkah Sheraton, yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

Tian disisihkan kerana dikaitkan dengan bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali, yang sebelum ini keluar daripada parti itu dan menyertai Bersatu.

Tian juga pernah diserang oleh ahli parti yang marah selepas Langkah Sheraton.

Susulan Langkah Sheraton, Chua mengumumkan penubuhan sebuah NGO dikenali sebagai Daya, yang didakwa pengkritiknya mempunyai kaitan dengan Azmin.

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan Tian.

Tian akhirnya kekal bersama PKR dan terus menyokong kepimpinan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Sementara itu bagi jawatan timbalan ketua PKR Batu, Mohd Hafiz Solkapeli memperoleh 458 undi, menewaskan Ramli Taha yang mendapat 310 undi.