Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kedudukan Zuraida: Serah pada kebijaksanaan PM, kata Mahdzir

Seorang lagi pemimpin Umno menegaskan bahawa urusan pelantikan seorang anggota kabinet merupakan hak prerogatif perdana menteri.

Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid, berkata terserah kepada kebijaksanaan Ismail Sabri Yaakob untuk dalam menentukan status Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, dalam kabinet Keluarga Malaysia sekarang.

"Apa-apa pelantikan atau pun apa juga yang (akan) dibuat sebenarnya atas prerogatif perdana menteri.

"Jadi kita serahkan kepada kebijaksanaan perdana menteri," katanya ketika ditemui media selepas majlis ramah mesra dan sambutan aidilfitri bersama warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Pahang di Kuantan, hari ini.

Dia yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar mengulas demikian selepas ditanya memgenai kemungkinan Umno akan mengisi jawatan menteri kabinet yang disandang Zuraida sekiranya ia dikosongkan.

Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada Khamis mengumumkan keputusannya meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baru ditubuhkan tahun lalu.

Bekas ketua Wanita PKR itu juga menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai menteri dan akan berjumpa dengan Ismail Sabri dalam masa terdekat bagi membincangkan isu tersebut.

Pada Khamis lalu Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, ketika ditemui media menyifatkan Zuraida sebagai individu yang menggunakan Bersatu untuk kepentingan peribadi, tidak pernah hadir mesyuarat dan tidak begitu aktif dalam gerak kerja parti.

Hamzah turut memaklumkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, sudah melucutkan jawatan Zuraida sebagai ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) parti itu dua minggu sebelum pengumuman semalam.