Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Reezal: Hormati hak prerogatif PM untuk lantik menteri

Semua pihak perlu menghormati hak prerogatif perdana menteri dalam melantik menteri Kabinet seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican.

Reezal berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob adalah seorang yang sangat konsultatif terutama dalam urusan pelantikan sebagai menteri Kabinet.

“Pelantikan dan pengguguran menteri adalah kuasa prerogatif perdana menteri. Ini termaktub di bawah Perkara 43(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau boleh dalam soal (pelantikan menteri Kabinet) ini, kita perlu letakkan kepercayaan kepada perdana menteri dan biar dia tentukan.

“Kita biarkan perkara itu kepadanya, dia ada kebijaksanaan sendiri dan bayangkan, dia satu-satunya perdana menteri yang berjaya wujudkan memorandum kerjasama (MoU) yang tidak pernah terjadi sebelum ini,” katanya ketika ditanya pemberita berhubung pelantikan menteri Kabinet susulan Zuraida Kamaruddin yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Dia berkata demikian selepas Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) kepada LBS Bina Group Berhad (LBS) di Dengkil, Selangor hari ini.

Semalam, ahli parlimen Ampang itu mengumumkan menyertai PBM dan dia akan berjumpa Ismail Sabri dalam masa terdekat, untuk membincangkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Susulan itu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata parti itu akan mengemukakan satu nama baru kepada perdana menteri dalam masa terdekat, untuk dilantik sebagai anggota Kabinet bagi menggantikan Zuraida yang mengumumkan keluar parti berkenaan.

Muhyiddin berkata tindakan itu diambil memandangkan kedudukan Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi adalah atas kuota parti itu.

Pada majlis itu, Reezal Merican menyaksikan penyerahan sijil MBOR iaitu Syarikat Pemaju Yang Mempunyai Bilangan Rumah Contoh Terbanyak Di Dalam Galeri Jualan untuk Projek Perumahan kepada LBS Bina Group Berhad.

Sijil MBOR itu diserahkan Ketua Pegawai Operasi MBOR Christopher Wong kepada Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Berhad Lim Hock San.

-Bernama