Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kecewa tapi tak terkalahkan, Ambiga gesa rakyat bangkit semula

Pada 3 Feb 2020, tiga parti yang bermusuh secara akhirnya membentuk pakatan baru baru yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di sebalik mandat yang diberikan rakyat kepada gabungan tersebut kurang dari dua tahun sebelum itu.

Bertempat di Hotel Sheraton di Kuala Lumpur detik itu akan kekal terukir dalam kamus politik Malaysia.

Umno, PAS dan Bersatu membentuk kesatuan atas nama menjaga kepentingan "kaum dan agama" yang menurut mereka semakin terhakis di bawah pemerintahan ‘liberal’ yang ditudfuh dikawal DAP.

Beberapa bulan kemudian, pakatan berkenaan mula terungkai apabila Umno - yang pemimpinnya berdepan kemungkinan dipenjara atas pelbagai pertuduhan - merancang untuk kembali berkuasa seperti sebelum PRU ke-14.

Satu lagi percaturan politik digerakkan dan ia membawa kepada terlantiknya perdana menteri ketika dalam tempoh tidak sampai dua tahun.

Dengan keadaan yang sentiasa tidak menentu, harapan pihak yang berjuang dan mengundi untuk melihat perubahan di dalam negara ini telah dihancurkan, dikecewa dan diabaikan.

Bekas pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan, adalah seorang daripada mereka.

"Apabila Sheraton Move berlaku dan pandemik itu menjadi lebih teruk, kita semua berasa tidak mampu berbuat apa-apa," katanya kepada Malaysiakini dalam satu wawancara baru-baru ini.

Undang-undang seperti tak dipeduli

Untuk tempoh yang lama, kata peguam kanan itu, dia juga berasa kecewa dan berputus harap serta terfikir mungkin akan ada orang lain mampu mencari kekuatan untuk meneruskan perjuangan berkenaan.

"Kita (kemudian) melihat pengisytiharan darurat yang tidak perlu serta penggantungan parlimen, dan ramai yang bersuara," tambahnya.

Bagaimanapun, Ambiga menegaskan bahawa peristiwa baru-baru ini membuktikan bahawa mengambil sikap berdiam diri bukanlah satu pilihan untuk rakyat di negara ini.

“Kita melihat Umno dan sekutunya kembali menggunakan helah lama mereka dengan Suruhanjaya Sekuriti dan badan kehakiman.

“Undang-undang nampaknya tidak penting, dan dengan banjir dan krisis lain, seolah-olah kita tidak dapat diselamatkan.

“Kemudian saya sedar bahawa kita tidak boleh berputus asa untuk menentang penyalahgunaan kuasa.

"Pemimpin yang tidak bertanggungjawab memang mengharapkan rakyat berdiam diri dalam situasi sedemikian.

Gambar fail

“Tiada siapa yang mengambil teladan daripada PRU lalu atau Langkah Sheraton. Mereka percaya bahawa orang ramai hanya akan bersabar menghadapi segala macam hal-hal mengarut ini.

“Inilah sebabnya mengapa saya memutuskan bahawa kita tidak boleh berdiam diri sebaliknya mesti meneruskan perjuangan untuk demokrasi kita. Semua orang mesti bersuara.

“Saya gembira melihat begitu ramai belia menyuarakan kebimbangan mereka dan memprotes walaupun menghadapi kesukaran untuk berbuat demikian semasa negara dilanda wabak.

"Kita juga mesti bersuara untuk menyokong mereka,” katanya lagi.

Bina semula semangat rakyat

Bimbang dengan jumlah orang yang akan keluar mengundi pada PRU akan datang, Ambiga berkata, penting untuk pihak yang berkenaan memberikan semangat kepada orang ramai sekali lagi.

Dia juga menegaskan pentingnya undang-undang antilompat parti digubal dan dilaksanakan bagi menghalang lebih ramai ahli politik memperdaya rakyat.

“Orang ramai mendapat inspirasi semasa PRU ke-14. Kali ini, saya bimbang orang ramai tidak akan keluar mengundi.

“Selepas Langkah Sheraton, orang ramai hilang kepercayaan terhadap sistem pilihan raya di negara ini.

“Malangnya, kita berada pada situasi ini kerana ada segelintir orang yang tidak menunjukkan penghargaan mereka kepada usaha rakyat membawa perubahan dan apa yang rakyat mahukan untuk negara ini.

Gambar hiasan

"Sebab itulah undang-undang antilompat parti begitu penting untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap sistem.

“Kita mesti membina semula semangat dalam diri rakyat untuk memperjuangkan perubahan sekali lagi.

"Melakukan perubahan itu tak pernah mudah. Jika anda fikir PRU lalu menyelesaikan semua masalah kita, itu tidak mungkin.

"Kita harus menerima kenyataan bahawa perubahan memerlukan masa yang lebih lama dan lebih banyak usaha," katanya.

Justeru kata bekas presiden Badan Peguam itu lagi, untuk merangsang semangat rakyat, dia membangkitkan isu perlunya parti-parti politik menonjolkan muka-muka baru.

Katanya langkah tersebut sudah diambil oleh DAP yang menampilkan barisan pemimpin baru. Muda juga kata Ambiga hadir dengan pilihan yang menarik.

Namun katanya rakyat memerlukan lebih daripada pembaharuan DAP dan Muda tersebut.

"Pembangkang mesti memberikan harapan baru kepada rakyat, serta naratif baru yang sesuai dengan kemahuan mereka.

"Buat masa ini PH tidak melakukan kedua-dua hal tersebut," katanya.

"Isu dalaman mereka sendiri pun tak selesai lagi. Khemah besar atau khemah kecil itu apa? PRU semakin hampir tapi PH masih tak boleh membuat keputusan mengenai saiz 'khemah' mereka.

"Maka rakyat masih tidak dapat melihat pembangkang yang padu," katanya.

[Baca berita penuh]