Bekas Adun keluar MCA, cabar presiden tanding di kerusi majoriti Cina
Bekas Adun Pulai Sebatang Tee Siew Kiong mengumumkan keluar daripada MCA berkuat kuasa serta-merta selepas memutuskan untuk tidak membuat rayuan berhubung penggantungan keahliannya dalam parti selama lima tahun itu.
Tee, yang digantung tugas kerana mengkritik kepimpinan parti, berkata dia tidak menjangkakan rayuannya jika dibuat sekalipun akan membawa sebarang perubahan.
“Bagi mengelakkan parti daripada terus menjadi huru-hara, saya secara rasminya mengumumkan akan keluar daripada parti MCA berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum digantung, Tee adalah bekas ketua bahagian MCA Pontian. Dia dikenakan tindakan tatatertib itu selepas mengkritik secara terbuka kepimpinan parti kerana menyerahkan hak pencalonan untuk Pulai Sebatang kepada Umno semasa pilihan raya Johor baru-baru ini.
Semasa pemilihan MCA pada 2018, Tee bergandingan dengan bekas timbalan menteri Gan Ping Sieu untuk merebut dua jawatan tertinggi parti. Bagaimanapun, gabungan Wee Ka Siong-Mah Hang Soon muncul sebagai pemenang dalam pemilihan itu.
Dia mendakwa tindakan tataterib yang dikenakan ke atasnya adalah usaha Wee untuk menghapuskan pesaingnya menjelang pemilihan MCA akan datang.
Secara sinis, Tee berkata bahawa presiden MCA itu kini tidak perlu lagi bimbang dan gelisah, suulan keputusannya untuk meninggalkan parti itu tetapi mencabarnya supaya berani bertanding di kawasan majoriti Cina.
“(Perletakan jawatan saya) ini juga dapat memenuhi hasrat terbesar dan terakhir presiden.
“Saya berharap presiden tidak lagi bimbang dan gelisah, dan berani bertanding di kawasan majoriti Cina, supaya dapat meningkatkan semangat dan maruah parti, dan mencontohi keberanian bekas presiden Lee San Choon,” katanya,
Lee adalah presiden MCA keempat. Pada pilihan raya umum 1982, dia bertanding di kerusi Seremban sebagai menyahut cabaran daripada pengerusi DAP ketika itu Dr Chen Man Hin yang mendakwa pemimpin MCA takut bertanding di kerusi majoriti Cina.
Lee kemudian berjaya menumbangkan Dr Chen, yang telah memegang kerusi Seremban sejak 1969 ketika ia dikenali sebagai Seremban Timor.
Wee adalah antara satu-satunya calon MCA yang ‘terselamat’ semasa pilihan raya umum 2018. Dia bertahan di kerusi Ayer Hitam dengan majoriti tipis 303 undi.
Ayer Itam adalah kerusi campuran. Pada 2018, kira-kira 58 peratus pengundi adalah penduduk Melayu.
Sementara itu, Tee berkata, walaupun dia bukan lagi ahli MCA, tetapi tetap berharap agar parti itu mencapai kejayaan yang lebih cemerlang dan terus menyumbang kepada masyarakat Cina.
Dalam perkembangan berkaitan, Bernama memetik Tee, 58, sebagai berkata keputusan itu dibuat setelah membuat pertimbangan yang teliti dan mendengar pendapat daripada semua pihak.
Beliau berkata keputusan itu juga telah mengambil kira penggantungan keahliannya dalam parti selama lima tahun berkuat kuasa 13 Mei lepas dan tempoh rayuan selama 14 hari berakhir hari ini.
"Setelah membuat pertimbangan teliti dan mendengar pendapat semua pihak, saya tidak akan membuat rayuan kerana tidak akan berlaku sebarang perubahan, lebih-lebih lagi apabila cadangan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib pun boleh diubah, jadi keputusan rayuan juga dalam jangkaan kita.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong di seluruh negara atas pelbagai cadangan dan pendapat mereka, bagi mengelakkan parti daripada terus menjadi huru-hara, saya secara rasminya mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta," katanya pada sidang media di Johor Bahru, hari ini.
Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah yang telah bersama MCA selama 40 tahun selain pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri itu turut menjelaskan bahawa beliau tidak akan menyertai mana-mana parti buat masa ini.
Beliau turut memaklumkan akan berehat sementara, sebelum memutuskan langkah seterusnya dan memberikan fokus sepenuhnya terhadap keluarga serta kerja-kerja badan bukan kerajaan.
"Saya akan berehat sementara dan jaga ahli keluarga setelah lama tidak bersama (luang masa), agaknya ini merupakan berita baik juga buat ahli keluarga saya," kata Tee yang menjadi Adun Pulai Sebatang sejak 2004 hingga 2018.
Pada 17 Mei lepas, media melaporkan Tee mengesahkan keahliannya dengan MCA digantung selama lima tahun berkuat kuasa 13 Mei lepas.
Tee dipetik sebagai berkata sebab penggantungan yang diberikan parti berkenaan adalah atas tindakannya mengadakan sidang media dan Facebook secara siaran langsung (FB Live) pada 25 Feb lepas berhubung namanya tidak dicalonkan oleh parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lepas.
Menurut surat bertarikh 13 Mei yang ditandatangani Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon, Tee telah mengkritik kepimpinan parti dan mengeluarkan kenyataan palsu pada sidang media yang turut disiar secara langsung menerusi Facebook semasa PRN Johor.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai