Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Masih ramai belum tahu prosedur perbaharui pasport M'sia

Orang ramai yang ingin memperbaharui pasport masing-masing dilihat masih kurang cakna dengan pemansuhan sistem walk-in di pejabat imigresen yang berkaitan.

Untuk memperbaharui pasport Malaysia antarabangsa (PMA), pemegang dokumen itu sepatutnya memulakan proses tersebut secara dalam talian sebelum boleh datang ke pejabat Jabatan Imigresen bagi mengambilnya pada tarikh yang ditetapkan.

Pembaharuan pasport secara walk-in pula hanya dibenarkan kepada pemohonan kali pertama, warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak, jemaah haji, pelajar 21 tahun ke bawah yang menyambung pelajaran peringkat ijazah di luar negara dan pasport yang hilang atau rosak.

Tinjauan Malaysiakini di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu Sentral mendapati orang ramai yang beratur panjang kecewa apabila tiba diminta pulang dan berurusan secara dalam talian.

“Agak penat juga sebenarnya. Saya dah ambil cuti dan anak saya pun ponteng sekolah hari ini sebab nak datang renew pasport.

"Rupa-rupanya kena buat online dulu. Rugi saja habiskan masa tunggu dari tadi,” kata salah seorang pengunjung.

Sementara itu seorang lagi pemohon memberitahu dia "tidak perasan" bahawa proses pembaharuan pasport kini perlu dilakukan secara dalam talian saja.

"Hanya apabila dah sampai sini baru nampak notis pada pintu depan yang kami kena buat secara online dan datang kemudian untuk ambil pasport baru,” katanya.

Sementara itu seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang bertugas di hadapan pintu masuk dilihat tenang melayan persoalan tanpa henti daripada pengunjung yang keliru dengan proses tersebut.

“Kalau nak datang kutip pasport di sini, memang kena datang awal pagi.

"Kalau datang lepas pukul 10 pagi, biasanya nombor giliran pun dah habis. Kena patah balik dan datang hari lain,” kata seorang kakitangan di situ.

Mengenai keadaan di pejabat itu, seorang pelanggan memberitahu orang yang berbaris itu memang panjang namun pada hari tertentu keadaan itu jauh lebih ramai.

"Saya pernah datang sini tengok beratur dah macam ular melingkar. Nak sampai separuh dari lingkaran itu pun sampai tiga jam.

“Sudahnya saya mengalah dan tak jadi buat pasport hari itu. Saya cuba hari lain," katanya.

Tambah lelaki itu keadaan lebih mudah jika berurusan di pejabat imigresen di Putrajaya.

Sementara itu Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud, ketika dihubungi berkata pihaknya sedang mengambil tindakan sewajarnya untuk menangani isu tersebut.

Antara tindakan yang diambil, katanya, ialah mempergiatkan pemakluman di media sosial Jabatan Imigresen dan akhbar agar orang ramai dapat peka dengan perubahan kaedah pembaharuan pasport.

Selain itu, katanya, mulai 25 Mei lalu Jabatan Imigresen memanjangkan waktu operasi pejabat pengeluar pasport yang mempunyai permintaan tinggi, iaitu dari jam 8 pagi hingga 10 malam, berbanding sehingga jam 5 petang.