Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Zuraida ada masalah disiplin, kata Bersatu

Pemimpin Bersatu mendedahkan Zuraida Kamaruddin berdepan masalah disiplin dan pernah dilayangkan surat tunjuk sebab.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Faiz Na'aman berkata, Zuraida juga dikesan terlibat dengan aktiviti parti lain selain tidak membantu semasa pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor.

"MPT pernah putuskan untuk kenakan tindakan tatatertib terhadapnya melalui surat tunjuk sebab. Tapi tiada respons darinya mengenai itu setahu saya.

"Terlibat dengan aktiviti parti lain (PBM), tidak hadir mesyuarat MPT lebih tiga kali berturut-turut tanpa sebab dan tidak membantu Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka dan Johor," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu hari ini, Zuraida yang juga ahli Parlimen Ampang Zuraida mengumumkan keputusannya keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata dia akan tetap menyokong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

"Setelah membuat pertimbangan yang mendalam, saya telah memutuskan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

"Saya mempercayai dengan perjuangan parti ini dan amat tertarik dengan enam prinsip terasnya, iaitu keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebah negara maju," katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu Faiz berkata Bersatu menghormati keputusan Zuraida kerana ia adalah hak dalam demokrasi politik.

Jelasnya Zuraida sepatutnya lebih awal lagi jujur dengan mengakui pembabitannya dalam penubuhan parti PBM itu.

"Kita menghormati pilihannya. Itu hak demokrasi dalam politik. Namun tindakannya dilihat opportunis dan mahu dirinya mengetuai sendiri gerakan/ parti politik.

"Alangkah lebih jujur jika dirinya mengaku dari awal bahawa penubuhan PBM juga turut melibatkan dirinya untuk raih sokongan dari pihak bukan Islam bekas PKR terutama di kawasan bandar," katanya.

Zuraida adalah bekas naib presiden PKR yang keluar parti bersama sekumpulan bekas pemimpin PKR lain yang diketuai oleh Mohamed Azmin Ali ketika "Langkah Sheraton" pada Februrari, 2020.

Tindakannya bersama rakan-rakan lain meninggalkan PKR, termasuk Bersatu menarik diri, menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad tumbang.

Dia kemudiannya menyertai Bersatu yang dipimpin bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin sebelum memilih untuk menyertai PBM.