Lelaki maut ditembak di hadapan restoran dekat Sg Petani
Seorang lelaki maut ditembak semasa dia hendak masuk ke dalam kenderaannya, di hadapan sebuah restoran di Jalan Kampung Baru, dekat Sungai Petani, hari ini.
Ketua Polis Kedah CP Wan Hassan Wan Ahmad berkata kejadian pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu mengakibatkan S.Murali, 36, yang ditembak dari jarak kurang daripada satu meter, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian muka dan badan.
Beliau berkata sebelum kejadian, lelaki itu bersama rakan, isteri dan seorang kanak-kanak dipercayai anak angkatnya datang ke sebuah restoran berkenaan dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) untuk membeli makanan.
“Ketika hendak masuk semula ke dalam kenderaannya, dua motosikal yang dinaiki empat suspek yang memakai jaket dan topi keledar muka penuh, telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah lelaki itu,” katanya kepada pemberita di Sungai Petani hari ini.
Wan Hassan berkata lapan kelongsong peluru dijumpai di tempat kejadian setakat ini dan polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran serta mencari saksi bagi membantu siasatan.
“Motif kejadian masih belum diketahui,” katanya dan menambah lelaki yang ditembak itu dipercayai terlibat dengan kumpulan kongsi gelap, gangsterisme dan pengedaran dadah.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai