Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Permohonan Jho Low, bapa ketepi injunksi lupus aset AS$1.04 bilion ditolak

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan ahli perniagaan, Low Taek Jho dan bapanya Larry Low Hock Peng untuk mengenepikan injunksi sementara yang diperolehi 1MDB bagi menghalang kedua-dua beranak itu daripada memindahkan atau melupuskan asetnya di Malaysia bernilai AS$1.04 bilion.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz turut memerintahkan kedua-dua mereka membayar kos RM5,000 kepada 1MDB dan anak syarikatnya, Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited).

Pada 15 Mac lalu, mahkamah membenarkan 1MDB dan anak syarikatnya memperoleh injunksi Mareva terhadap Jho Low, bapanya serta beberapa individu lain.

Pada 29 Mac, mahkamah membenarkan permohonan kedua-dua plaintif mendapatkan injunksi sementara itu bagi menghalang kedua-dua beranak itu daripada melupuskan aset di Malaysia.

Permohonan Jho Low dan bapanya untuk mengetepikan injuksi berkenaan didengar secara inter-partes hari ini di mana peguam daripada kedua-dua pihak hadir.

Injunksi Mareva adalah perintah pembekuan atau perlindungan aset yang menghalang defendan atau responden daripada mengalihkan asetnya.

Injunksi itu juga mengehadkan perbelanjaan bulanan Jho Low dan bapanya kepada tidak lebih RM20,000 setiap seorang untuk perbelanjaan sara hidup dan perbelanjaan guaman.

Sekiranya mereka memerlukan perbelanjaan tambahan, mereka dikehendaki mendapatkan kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada peguam 1MDB dan Global Diversified.

Ketika dihubungi petang ini, peguam mewakili kedua-dua plaintif, Siva Kumar Kanagasabai mengesahkan keputusan prosiding.

Beliau berkata mahkamah telah memerintahkan Jho Low dan bapanya membuat pendedahan bertulis mengenai aset dan lokasinya dalam tempoh 14 hari selepas menerima salinan keputusan hari ini.

Siva Kumar berkata mahkamah mengarahkan supaya salinan perintah hari ini diserahkan menerusi alamat terakhir kedua-dua mereka di Tanjung Bungah, Georgetown, Pulau Pinang, sepertimana dalam rekod peguam mereka.

“Jika D1 dan D3 (defendan pertama Jho Low dan defendan ketiga Hock Peng) tidak mematuhi perintah Mareva, pendengaran mereka dilarang dalam prosiding ini, pembelaan mereka akan dibatalkan, dan P1 dan P5 ( plaintif pertama 1MDB dan plaintif kelima Global Diversified) bebas untuk memohon untuk membuat penghakiman terhadap mereka,” kata peguam itu.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya - Global Diversified, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited - memfailkan saman AS$3.7837 bilion terhadap Jho Low; bapanya; ibunya Goh Gaik Ewe; kakaknya May Lin; adik lelaki Taek Szen dan rakan sekutunya, Eric Tan Kim Loong.

Saman itu adalah sebahagian daripada 22 saman sivil oleh 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International yang difailkan pada tahun lepas.

Tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang didakwa menipu dua entiti milik kerajaan berkenaan, sama ada secara sedar atau tidak.

[Baca berita asal]