Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Asyraf: Cuma minta penjelasan isu saham TH, bukan fitnah Mujahid

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata dia tidak memfitnah tetapi sekadar menuntut penjelasan daripada bekas menteri, Mujahid Yusof mengenai isu penjualan ekuiti Tabung Haji (TH) berjumlah RM2.6 bilion.

Kata Asyraf, keputusan untuk menyelesaikan isu berkenaan di luar mahkamah kerana kes berkenaan telah berlanjutan hampir tiga tahun.

"Posting terdahulu... bukan fitnah tetapi menuntut penjelasan. Kami berdua setuju selesaikan di luar mahkamah.

"Ramai rupanya di kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) yang ambil kesempatan menuduh kononnya saya memfitnah. Ada yang tanya kenapa tak lawan terus di mahkamah.

"Kami semalam sama-sama sepakat untuk selesaikan di luar mahkamah kerana kes ini dah berlarutan hampir tiga tahun kerana proses mahkamah yang panjang. Atas semangat perdamaian di bulan Syawal, kami mencapai kesepakatan untuk tidak memanjangkan isu ini di mahkamah.

"Kami juga sama-sama sepakat bahawa tidak timbul isu fitnah, maka tidak perlu lagi untuk meneruskan sebarang tuntutan permohonan maaf ataupun pampasan berupa ganti rugi ataupun kos," katanya menjawab komen warga net di Facebooknya, hari ini.

Semalam, ketua Pemuda Umno itu menarik balik kenyataan berbaur fitnah yang dibuatnya terhadap bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Mujahid Yusof.

Perkara itu direkodkan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Akhtar Tahir, melalui prosiding penghakiman persetujuan membabitkan kes saman fitnah Mujahid terhadap Asyraf Wajdi.

Peguam yang mewakili anggota Parlimen Parit Buntar itu, Noorazmir Zakaria berkata Asyraf Wajdi bersetuju untuk memadam dan menarik balik hantaran tersebut.

Ia merupakan hantaran dibuat bekas timbalan menteri di JPM itu di Facebook pada 30 Sept 2019 bertajuk “Tabung Haji Jual RM 2.6b Ekuiti: YB Mujahid Harus Segera Beri Penjelasan”.

Saman fitnah Mujahid terhadap Asyraf yang difailkan pada 19 Nov 2019 berhubung dengan tuduhan Asyraf Wajdi di Facebook miliknya bahawa wujudnya penjualan saham Tabung Haji (TH) di dalam syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) ketika Mujahid menjawat jawatan sebagai menteri agama.

Dalam pada itu, Asyraf melalui hantaran di FB hari ini berkata dia telah menerima penjelasan Mujahid berhubung isu berkenaan yang menjelaskan tiada sebarang penjualan aset TH sewaktu dia menjadi menteri di pejabat perdana menteri bagi hal ehwal agama.

Katanya, mereka juga sepakat bahawa isu berkenaan telah pun selesai.

Oleh demikian, Asyraf berkata dia menarik balik hantaran tersebut dan berharap hantaran berhubung isu pelupusan saham TH dalam TNB tidak lagi dibangkitkan kembali.

"Apa yang dipersetujui cuma padamkan kenyataan asal kerana isu mendesak penjelasan menteri berkenaan penjualan saham TNB sudah selesai apabila Menteri menjawabnya.

"Lagipun RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) juga sedang dan masih berjalan untuk menyiasat isu-isu yang melingkari TH selama ini," katanya.