Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Aziz Bari tak terkejut sikap membisu Peja

Pada tahun 2008 tsunami politik melanda Malaysia dengan Perak merupakan salah satu daripada lima negeri yang menyaksikan kekalahan Umno BN.

Bagaimanapun tidak seperti Pulau Pinang dan Selangor yang kekal dalam pentadbiran Pakatan Rakyat ketika itu, Perak mula mengalami pergolakan politik pada tahun 2009.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, Ahmad Faizal Azumu memperolehi kemenangan tipis dengan hanya 39 undi di Chendriang dan merupakan satu-satunya Adun daripada Bersatu.

Dia memilih haluan sendiri dengan berpaling tadah sejurus selepas Langkah Sheraton bagi membentuk kerajaan dengan sokongan Umno dan PAS, sebelum digulingkan sebagai menteri besar.

Adun Tebing Tinggi, Aziz Bari berkata ada banyak perkara yang belum dilaksanakan oleh Pakatan Harapan di negeri itu dan menyatakan hasrat menentang Ahmad Faizal di kerusi parlimen Tambun.

Malaysiakini telah mencuba beberapa kali untuk mendapatkan respons daripada Ahmad Faizal berhubung cabaran berkenaan, tetapi tidak dilayan.

Aziz berkata dia tidak terkejut dengan sikap membisu Ahmad Faizal.

“Kita mahu teruskan, dan kita tahu ada kekecewaan dan kepenatan dalam kalangan pengundi, tetapi kita minta diberi peluang sekali lagi dengan mandat yang jelas di Perak.

“Pada masa lalu, kita tidak dapat melakukannya. Dua kali kita menang tetapi majoriti kerajaan negeri sangat tipis dan tidak sampai pertengahan penggal kerana sabotaj dalam pakatan. Perkara ini berlaku sejak 2008 apabila Pakatan Rakyat mula-mula menang di Perak.

“Kita memerlukan kerajaan yang lebih stabil tidak seperti sebelum ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Aziz pernah menjadi tajuk berita apabila mengkritik Ahmad Faizal terutamanya menyarankan pemimpin Bersatu itu menumbuk mukanya sendiri, apabila dia mengatakan mahu menumbuk mereka yang menghina bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Aziz berkata, dia tidak pernah menganggap mahu mengejar jawatan walaupun Ahmad Faizal berasa kedudukannya tidak selamat.

“Realpolitik berbeza. Pada tahun 2018 pilihan raya negeri semakin hampir. Dia adalah individu yang boleh membawa masuk dua orang dari sebelah sana jadi dia berada dalam posisi untuk membuat tuntutan.

"Saya sebenarnya sanggup berkhidmat di bawahnya tetapi dia tidak pernah memberi saya peluang sejak hari pertama dan sebaliknya dia memilih untuk mencurigai saya," imbas Aziz.

"Saya pernah memberitahunya terus terang: Kami di sini bukan untuk menjatuhkan kamu, tetapi dia yang cari gaduh dengan saya.

"Dia menolak saya atas dasar sebagai MB dia mempunyai prerogatif, lupa bahawa dia menduduki jawatan MB kerana sokongan kami," tambahnya.

[Baca berita asal]