MP: Henti eksport ayam tak akan selesai masalah jangka panjang
Langkah kerajaan untuk menghentikan eksport ayam bagi menangani kekurangan bekalan makanan negara tidak akan menyelesaikan masalah itu untuk jangka panjang, kata Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin.
Sebaliknya, jurucakap Parlimen Pertanian dan Komoditi PKR itu berkata kerajaan perlu tahu bahawa punca kekurangan bekalan ayam adalah disebabkan permintaan luar biasa ketika hari raya Aidilfitri selepas dua tahun pelaksanaan perintah kawalan berkurung dan juga kos pengeluaran yang semakin meningkat.
Katanya, dua dasar yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob seperti pemansuhan permit import (AP) dan menghentikan eksport bekalan ayam bermula 1 Jun ini bukanlah penyelesaian yang sebenar.
“Pemansuhan AP untuk import ayam bulat dijangka kurang sambutan kerana sebab yang sama, iaitu harga ayam global lebih mahal.
“Kawalan eksport juga bukan penyelesaian berpanjangan kerana Indonesia dan India juga membatalkan larangan eksport hanya lepas beberapa minggu sahaja,” katanya dalam kenyataan.
Dia merujuk langkah Indonesia sebelum ini yang mengenakan larangan eksport sawit dan India yang melarang eksport bawang.
Bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu menjelaskan bahawa permintaan luar biasa dijangka akan menurun selepas bulan Syawal.
“Punca kedua adalah harga kos pengeluaran yang meningkat. Harga kos dedak telah meningkat 100 peratus. Gaji minimum pekerja naik ke RM1,500. Kekurangan pekerja juga menjejaskan pengeluaran.
“Yang paling terkesan adalah kawalan harga RM8.90 selama 141 hari. Kawalan harga ini adalah paling lama dalam sejarah. Kawalan harga menjejaskan keseimbangan pasaran,” katanya lagi.
Tambah Sim, harga kawalan yang tidak munasabah menyebabkan petani menanggung kerugian berpanjangan sehingga ada yang terpaksa mengurangkan ternakan kerana ingin mengurangkan kerugian.
“Demi menyelesaikan kekurangan bekalan, kerajaan seharusnya memahami masalah sebenar dan berusaha membantu petani tempatan mencari penyelesaian menang-menang,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai