Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Menteri patut salahkan diri sendiri, bukan atlet Sukan SEA'

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu harus dipersalahkan dan bukannya atlet negara berhubung prestasi hambar negara di Sukan Asia Tenggara (SEA), kata bekas timbalan menteri belia dan sukan Steven Sim.

Sim menegaskan bahawa di bawah teraju Ahmad Faizal, atlet bergelut dengan pemotongan peruntukan yang tinggi.

"Kenyataan Faizal bahawa dia berasa kecewa kerana kontinjen Malaysia tidak berada di kedudukan lebih tinggi di Sukan Sea Hanoi mencerminkan kegagalan berterusan pihak menteri untuk memimpin sektor sukan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, kata ahli parlimen Bukit Mertajam itu, kenyataan Faizal itu tiada beza dengan sikap menyalahkan atlet Malaysia.

"Pihak yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas prestasi paling buruk Malaysia di Sukan SEA dalam 40 tahun ialah Menteri Belia dan Sukan sendiri bukan para atlet Malaysia yang terpaksa berjuang di bawah keadaan serba kekurangan disebabkan kegagalan kepimpinan menteri.

"Contohnya, atlet Malaysia terpaksa bertempur dalam keadaan kekurangan dana berikutan tindakan Menteri memotong hampir 80 peratus peruntukan untuk penyediaan sukan antarabangsa dalam Belanjawan 2022 berbanding Belanjawan 2018," katanya.

Selain itu, kata Sim, elaun latihan untuk 253 atlet turut ditamatkan manakala mereka yang terus menerima elaun menyaksikan pemotongan drastik sehingga 60 peratus.

"Kekecewaan yang kononnya disuarakan menteri tidak boleh diterima sama sekali, sedangkan banyak pihak termasuk saya sendiri telahpun memberikan amaran di Parlimen pada November 2021 bahawa sektor sukan negara bakal berdepan kemerosotan berikutan kegagalan kepimpinan menteri belia dan sukan serta pemotongan mendadak peruntukan sukan," kata Sim yang juga setiausaha penganjur DAP kebangsaan.

Sim berkata beberapa cadangan untuk menyelamatkan keadaan juga tidak didengari.

"Menteri belia dan sukan sepatutnya memohon maaf kepada para atlet dan semua peminat sukan Malaysia.

"Sudah tiba masanya menteri belia dan sukan mengakui kegagalan kepimpinannya dan mengambil langkah-langkah membina semula kekuatan sukan negara melalui dasar perlindungan kebajikan atlet yang lebih baik bagi mencungkil dan mengekalkan lebih ramai bakat sukan Malaysia," katanya.

Ahmad Faizal sebelum ini berkata "semua rakyat Malaysia kecewa" selepas Malaysia menduduki tempat keenam dalam Sukan SEA walaupun mencapai sasaran negara untuk 36 pingat emas.

Malaysia berada di belakang Vietnam, Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina, yang juga merupakan kedudukan terendah dalam tempoh hampir 40 tahun.