Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Garis panduan kenderaan mikromobiliti diumumkan tak lama lagi

Menteri Pengangkutan berkata pelan dan garis panduan menyeluruh berhubung penggunaan kenderaan mikromobiliti akan diumumkan tidak lama lagi.

Ia susulan bantahan awam berhubung larangan penggunaan tiga jenis kenderaan itu, iaitu Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan Personal Mobility Aids (PMA), di atas jalan.

"Kerajaan memahami keperluan dan peranan penting yang boleh dimainkan menerusi penggunaan kenderaan mikromobiliti.

"Sebab itu, pelan dan garis panduan yang komprehensif merangkumi pelbagai kementerian, agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kini di peringkat akhir untuk disiapkan dan ia akan diumumkan tidak lama lagi," katanya di Facebook hari ini.

Hantaran itu turut melampirkan tangkap layar laporan bekas perdana menteri Najib Razak yang tidak setuju dengan larangan itu.

Moped adalah kenderaan yang dipasang dengan dua atau tiga roda dan dipacu oleh sumber elektrik dengan kelajuannya tidak melebihi 50 kilometer sejam (km/j).

PMD dan PMA pula adalah kenderaan yang dipacu oleh kuasa manusia atau elektrik dengan kelajuan tidak melebihi 25 km/j seperti skuter berkuasa elektrik dan kenderaan bagi kegunaan individu yang mempunyai masalah pergerakan.

Pada 26 April lalu, kerajaan mengumumkan larangan penggunaan tiga jenis kenderaan itu di atas jalan yang berkuat kuasa serta merta.

Wee ketika itu berkata, penggunaan kenderaan itu hanya dibenarkann di dalam bangunan dan kawasan yang tiada percampuran aliran trafik.