Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MP: Cuepacs 'salah faham' isu kod pemakaian di jabatan k'jaan

Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham mendakwa Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) "salah faham" berhubung isu kod pemakaian orang ramai di jabatan atau agensi kerajaan yang dibangkitkannya sebelum ini.

Ngeh berkata Presiden Cuepacas Adnan Mat tidak memahami masalah yang timbul berkenaan isu tersebut.

'Tidak pernah dalam kenyataan saya menyokong orang ramai supaya tidak berpakaian sopan apabila pergi ke jabatan kerajaan. Secara umumnya, kita semua berpakaian sopan dan ada antara kita pula berpakaian sangat segak apabila bertemu pegawai-pegawai kerajaan.

"Isu yang saya utarakan ialah penafian perkhidmatan kepada orang ramai yang dikatakan tidak mematuhi kod pakaian yang ditetapkan oleh jabatan kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata menerima aduan daripada seorang peguam wanita yang pemakaiannya diterima di mahkamah tetapi tidak dibenarkan masuk ke jabatan pendidikan atas sebab memakai skirt di paras lutut, yang menurutnya tidak boleh diterima.

"Seorang lelaki tua terpaksa pulang ke rumah sejauh 15 kilometer untuk menukar seluar pendeknya kepada seluar panjang sebelum dia dibenarkan masuk ke pejabat kerajaan tempatan untuk membuat bayaran," dakwanya lagi.

Semalam, Adnan menyangkal kritikan Ngeh yang menggesa agar ketua jabatan tidak "mengawasi" pemakaian orang ramai yang pergi ke pejabatnya.

Adnan berkata kenyataan Ngeh "dangkal dan tidak bertanggungjawab" dan dia sepatutnya menasihatkan orang ramai untuk lebih bersopan dalam etika berpakaian.

Dalam pada itu, Ngeh juga mendakwa Adnan jelas tidak memahami masalah itu apabila berkata penjawat awam akan menggunakan budi bicara sebelum menafikan perkhidmatan kepada sesiapa yang dilihat tidak mematuhi kod pakaian.

"Dalam semua kes di atas yang saya sebutkan, mereka diberhentikan di pondok pengawal dan tidak dibenarkan masuk ke pejabat kerajaan.

Bagaimana penjawat awam itu boleh membuat penilaian?" soalnya.

Dia berkata tiada undang-undang yang memberi kuasa kepada pegawai kerajaan untuk menetapkan syarat bahawa mana-mana warga perlu mematuhi kod pakaian sebelum diberi perkhidmatan.

"Kod pakaian boleh diberikan sebagai satu nasihat tetapi tidak sebagai satu peraturan," katanya lagi.