Aziz Bari nak lawan Peja di Parlimen Tambun pada PRU15
Ketua Pembangkang Perak Abdul Aziz Bari menyatakan hasrat untuk mencabar bekas menteri besar Ahmad Faizal Azumu di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15.
Di saat pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Ong Kian Ming mengumumkan tidak akan bertanding, Aziz yang juga Adun Bukit Tinggi pula berkata dia sanggup bertanding di dua kerusi.
"Saya telah berjanji dengan parti yang saya akan pertahankan kerusi DUN Tebing Tinggi, tetapi saya juga harap dapat lawan Peja di Tambun.
"Sejujurnya, saya tak rasa dia banyak turun di lapangan. Saya tak dapat lihat di mana peruntukan untuk Parlimen itu pergi," katanya kepada Malaysiakini.
Aziz berkata dia tiada isu peribadi dengan Faizal cuma kawasannya berdekatan dengan Tambun dan dia sendiri giat turun ke lapangan di situ.
"Saya yakin ada beberapa aspek yang saya boleh menyumbang. Ia pastinya akan jadi pertembungan tiga penjuru dengan BN dan PN," katanya lagi.
Aziz tidak melihat akan timbul sebarang konflik jika DAP memutuskan untuk mencalonkannya di kerusi DUN dan juga Parlimen.
"Ia bukan perkara yang lazim tetapi ada beberapa orang seperti ketua menteri Sarawak dan Pulau Pinang, serta Azmin Ali, Lim Guan Eng, Shafie Apdal dan Baru Bian. Kesemuanya merupakan Adun dan juga ahli parlimen," katanya.
Mengulas isu berbeza, dia mengakui pengumuman Ong baru-baru ini, bahawa dia tidak akan bertanding dalam PRU akan datang, mengejutkannya.
"Berkenaan Ki Siang mungkin ia tak dapat dielakkan kerana sudah lama dia berkhidmat, tetapi (keputusan) Ong agak mengejutkan saya. Dia masih muda, kira-kira 47 tahun.
"Saya rasa ia kerana keputusan pemilihan parti baru-baru ini. Akar umbi mahu hala tuju berbeza," kata Aziz yang turut tewas dalam pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat DAP.
Di saat rama pihak menggesa ahli politik veteran seperti Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR Anwar IBrahim, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan bekas perdana menteri Najib Razak untuk bersara, Aziz mempunyai pandangan berbeza.
"Berkenaan perubahan generasi, ia soal pilihan. Hanya kerana anda sudah tua, tidak bermakna anda perlu berundur. Bagi saya usia bukan isu.
"Kita tak boleh lupa yang politik adalah tentang kebebasan rakyat untuk membuat pilihan sendiri - baik atau buruk, betul atau salah," katanya.
Pada masa sama, bekas pensyarah undang-undang itu berkata kebanyakan mesej gagal disampaikan ke peringkat akar umbi.
"Saya menganggap diri saya sebagai ahli politik amatur dan terlibat secara tak sengaja. Lama sebelum saya sertai politik, saya sentiasa memikirkan bagaimana untuk merapatkan jurang antara undang-undang perlembagaan dengan rakyat.
"Apabila saya pulang daripada pengajian pascasiswazah (di University of Nottingham dan University of Birmingham) pada akhir 1990-an, saya lihat orang terlalu takut untuk bercakap soal monarki, Islam, ISA dan topik-topik penting lain.
"Masalah utama adalah orang malah tidak faham mengapa topik-topik ini menjadi tabu," katanya sambil menambah ia kerana soal undang-undang begitu jauh dengan orang kebanyakan.
"Dahulu, ia sesuatu yang sangat langka. Kini kita ada ramai pakar," katanya berseloroh.
"sebenarnya tetap ada sedikit kebebasan akademik. Jika tidak saya tak akan jadi profesor penuh pada 2003 dan dibenarkan untuk terus menulis kolum di akhbar The Sun," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai