Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Undang-undang kewartawanan penting bagi landskap media hari ini'

Menguatkuasakan undang-undang berkaitan profesion kewartawanan dilihat sebagai asas penting dalam era digital semasa terutamanya apabila undang-undang itu masih belum dilaksanakan di negara ini.

Ketua Aliansi Jurnalis Independen (AJI) Yogyakarta Shinta Maharani, 37, berkata penguatkuasaan undang-undang yang ditetapkan mengenai perlindungan dan privasi wartawan adalah penting terutamanya semasa proses pelaporan berita.

Shinta berkata keganasan terhadap wartawan pada masa kini sering dilihat dalam bentuk gangguan digital dalam media sosial seperti ugutan, intimidasi dan jenayah yang berpotensi untuk mendatangkan bahaya kepada mangsa.

“Di Indonesia, begitu banyak serangan digital terhadap wartawan bersama-sama dengan pembela hak asasi manusia, terutamanya apabila kita melaporkan rasuah dan keganasan manusia. Wartawan wanita juga mengalami serangan digital seperti itu.

“Kita perlukan (undang-undang kewartawan), kita memerlukan perlindungan untuk wartawan terutama mereka yang mengalami serangan digital. Majlis akhbar juga perlu bertindak lebih untuk menangani serangan digital terhadap wartawan,” katanya kepada pemberita pada majlis Anugerah Solidariti Media 2022 di Petaling Jaya semalam.

Shinta berkata pengalamannya melaporkan mengenai Konflik Agraria di Yogyakarta, Indonesia adalah antara contoh pengalaman pahit apabila dia diserang secara digital dan fizikal oleh individu yang tidak dikenali.

Radzi Razak

Senada dengannya, jurucakap Gerakan Media Merdeka (GeramM) Radzi Razak, 37, berkata udang-undang kewartawanan harus dilaksanakan di negara ini mengikut Kod Etika Kewartawanan bagi memastikan kualiti pelaporan berita.

“Kerana kita lihat ia dapat membantu bukan sahaja melindungi wartawan tetapi juga masyarakat daripada kewartawanan yang tidak sihat, sebab kita semua (pengamal media) sudah ada kod etika kewartawanan yang telah dibuat sejak 30 tahun lepas.

"Jadi apa salahnya jadikan peraturan untuk membantu kita bekerja dengan selamat, membantu masyarakat untuk memastikan wartawan itu sendiri tidak menyeleweng daripada kod etika itu. Undang-undang itu boleh diadaptasi daripada kod kewartawanan itu sendiri," katanya.

Sementara itu pada majlis yang sama, pengamal media dari pelbagai agensi media tempatan turut menerima Anugerah Solidariti Media 2022 dalam pelbagai kategori selepas acara itu dijalankan secara dalam talian tahun lalu dan dihentikan sejak 2019 akibat pandemik.

Acara anjuran GeramM dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) itu terdiri daripada pelbagai kategori seperti Twitter Trenders, Instagram Idols, Fit Fab Journalist, Wartawan Otai dan Popular Press SOS.

Mengulas mengenai majlis anugerah itu, Radzi berkata ia bertujuan untuk meraikan pengamal media yang menjalankan tanggungjawab mereka dalam menyampaikan berita kepada pengguna serta meningkatkan motivasi mereka.

Pemenang menerima kotak mengandungi cenderamata, kemeja-T dan hamper sumbangan Kelab Wartawan Kuala Lumpur dan Selangor.

-Bernama