Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Isu buruh: UK diheret ke mahkamah kerana berurusan dengan syarikat M'sia

Kerajaan UK berdepan tindakan undang-undang kerana meneruskan urusan dengan pembuat sarung tangan Malaysia yang dituduh melakukan kesalahan berkenaan buruh.

The Independent yang berpangkalan di UK melaporkan bahawa Mahkamah Tinggi di negara itu telah memberikan kebenaran untuk pendengaran penuh kehakiman mengenai perkara itu.

The Citizens, sebuah kumpulan bukan bermotif keuntungan, mencabar keputusan kerajaan UK untuk terus menggunakan anak syarikat Supermax yang berpangkalan di Malaysia untuk bekalan sarung tangan bagi hospital kerajaan.

Portal berita UK itu menyifatkan kes berkenaan sebagai yang pertama seumpamanya dipertimbangkan untuk kes perhambaan moden dalam rantaian bekalan UK.

“Perintah Mahkamah Tinggi menggariskan bahawa terdapat tuntutan yang boleh dipertikaikan mengenai pelanggaran berat kewajipan undang-undang awam untuk menjawab dan dengan itu kebenaran untuk kes itu untuk meneruskan perbicaraan semakan kehakiman penuh telah dibenarkan.

“Walaupun keputusan Mahkamah Tinggi untuk memberikan kebenaran hanyalah peringkat pertama prosiding undang-undang ini, ia adalah penting kerana ia merupakan kes pertama di mahkamah Inggeris yang mempertimbangkan penggunaan perhambaan moden dalam proses perolehan kerajaan sendiri,” kata Nusrat Uddin , peguam utama yang mewakili The Citizens, seperti dipetik oleh The Independent.

Supermax, yang telah menghadapi siasatan AS berhubung dakwaan kesalahan isu buruh, menegaskan ia telah mematuhi undang-undang buruh.

Supermax telah melaksanakan dasar baru untuk pekerja asing dan juga memberikan pampasan selepas menghadapi sekatan oleh AS.

Kanada juga telah menamatkan kontrak dengan Supermax berikutan dakwaan itu.

Sebaliknya, UK pada Disember tahun lalu memeterai perjanjian untuk menganugerahkan Supermax Healthcare Limited kontrak untuk membekalkan sarung tangan, mendorong tindakan undang-undang oleh The Citizens untuk mencabar perjanjian itu.