Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kit Siang dah bersara, saya sedia debat dengan Najib - Steven Sim

Pemimpin DAP Steven Sim mencabar bekas perdana menteri Najib Razak berdebat dengannya bagi menggantikan Lim Kit Siang yang telah bersara daripada arena politik.

Bekas timbalan menteri belia dan sukan itu berkata, dia sedia berdebat dengan Najib dalam bahasa Inggeris seperti mana dikehendaki ahli parlimen Pekan itu.

"Najib nak debat, saya on. Nampaknya Anwar Ibrahim berjaya menginsafkan Najib pasal budaya berdebat.

"Saya masih ingat, dulu masa dia jadi PM, Najib kata debat bukan budaya kita. Sekarang lepas berdebat dengan Anwar, dia nak ajak saudara Kit Siang berdebat pula.

"Saya rasa tak perlulah saudara Kit Siang sambut benda ni. Dia kan dah bersara," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Pada 12 Mei lalu, buat pertama kali, Najib dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berdebat secara langsung.

Semalam media melaporkan Najib menyatakan kesediaannya berdebat dengan Kit Siang pula yang sebelum ini menolak untuk dilantik sebagai pemimpin mentor DAP.

Najib berkata, dia bersedia berdepan Kit Siang pada bila-bila masa meskipun jadualnya kini padat dengan kes-kes di mahkamah.

Malah dia juga sedia berdebat dengan veteran DAP itu dalam bahasa Inggeris.

Untuk rekod pada Mei 2019 Najib pernah melontarkan cabaran berdebat dengan Kit Siang, namun veteran DAP itu menolak pelawaan itu.

Dalam pada itu, Steven berkata jika Najib ikhlas untuk berdebat, dia akan sambut cabaran itu dan tidak menghantar orang lain bagi mewakilinya.

"Kalau Najib benar-benar ikhlas nak debat, ayuh, saya sambut. Dia ajak saudara Kit Siang debat dalam Bahasa Inggeris, ok saya on!

"Datuk Seri (Najib) dan saya, 'we debate in English'. Masa dan tempat, Datuk Seri sila kemukakan. Macam mana? Jangan pula nak hantar orang lain," katanya lagi.