Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perkeso pertahan keputusan klasifikasi semula Covid-19 jadi penyakit pekerjaan

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mempertahankan keputusannya menukar status tuntutan berkaitan Covid-19 daripada kecederaan pekerjaan kepada penyakit pekerjaan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membidas langkah badan berkenaan yang dianggap mereka sebagai bersifat regresif.

Dalam kenyataan semalam, Perkeso berkata keputusan pengklasifikasian itu selaras dengan peralihan negara daripada fasa pandemik ke endemik Covid-19.

Dalam keadaan sekarang, kata Perkeso, seseorang itu boleh dijangkiti wabak tersebut dari pelbagai sumber termasuk acara sosial seperti membeli-belah dan majlis perkahwinan.

Bagaimanapun, Ketua Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Perkeso, Izad Raya, menegaskan jangkitan berkaitan pekerjaan yang dilindungi sama seperti batuk kering dan leptospirosis.

Tambahnya, klasifikasi semula itu selaras dengan langkah yang diambil oleh negara lain, dan menggesa MTUC merujuk kepada laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa berhubung klasifikasi virus itu.

MTUC telah mengkritik langkah terbaru Perkeso itu dan menganggap keputusan berkenaan menjejaskan pekerja.

Mereka berkata memproses tuntutan berkaitan Covid-19 sebagai penyakit pekerjaan bermakna hanya pekerja dalam pekerjaan yang terdedah dan dijangkiti dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan layak untuk memohon faedah tersebut.

Izad berkata Perkeso sebenarnya boleh menyenaraikan Covid-19 sebagai penyakit pekerjaan walaupun sebelum peralihan kepada fasa endemik bermula pada 1 April lalu.

Bagaimanapun, katanya, Perkeso memilih untuk mengklasifikasikannya sebagai kecederaan pekerjaan bagi membantu pekerja yang terjejas semasa wabak itu.

Katanya, setakat 14 Mei lalu, Perkeso menerima 181,184 permohonan tuntutan Covid-19 dan pertubuhan itu membuat pembayaran bernilai RM161 juta.

[Baca berita asal]