Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kemelut Umno Melaka: Biasalah, laki bini pun gaduh - Zahid

Tidak ada sebarang masalah melanda Umno Melaka, kata Ahmad Zahid Hamidi, ketika wujud spekulasi mendakwa ada sesetengah pihak sedang cuba menyingkirkan pengerusinya, Ab Rauf Yusoh.

Ahmad Zahid pada masa sama mengakui dia ada bertemu dengan sekumpulan ketua Umno bahagian dari Melaka baru-baru ini. Dia juga mengesahkan turut bertemu Ab Rauf.

Namun Presiden Umno itu menegaskan ia bukanlah kemelut yang luar biasa.

"Tak ada masalah apa-apa (di Melaka)," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Ditanya mengenai kemungkinan ada desakan untuk mengetepikan speaker Dewan Undangan Negeri Melaka itu daripada jawatan pengerusi Umno negeri, sambil ketawa Ahmad Zahid berkata: "Biasalah... laki bini pun bergaduh."

Sebelum ini Malaysiakini cuba mendapatkan komen Ahmad Zahid selepas beberapa ketua Umno bahagian di Melaka dilaporkan cuba menggantikan Ab Rauf dengan Sulaiman Md Ali yang juga ketua menteri negeri itu.

Mereka juga dikatakan bertemu dengan Ahmad Zahid untuk menyatakan hasrat tersebut baru-baru ini.

"Dah jumpa (ketua-ketua bahagian). Saya pun dah jumpa Datuk Rauf," katanya sebagai reaksi kepada pertanyaan mengenai pertemuan tersebut.

Umno Melaka dipercayai sudah lama berdepan dengan isu dalaman, antara lain ekoran Ad Rauf didakwa mengintai jawatan ketua menteri yang disandang Sulaiman yang tidak memegang sebarang jawatan penting dalam kepimpinan parti di peringkat negeri.

Pusingan terbaharu spekulasi mengenai kemelut itu hadir kira-kira dua minggu lalu apabila ada khabar angin bertiup mendakwa Sulaiman dikhabarkan dipaksa meletak jawatan.

Ketua menteri itu bagaimanapun menafikan khabar angin tersebut, manakala Rauf pula menganggapnya sekadar "tuduhan liar".

Susulan itu keadaan berbalik pula apabila ada beberapa pemimpin Umno di peringkat bahagian di Melaka dilaporkan mahu Sulaiman menggantikan Ab Rauf sebagai pengerusi perhubungan negeri.

Langkah awal diambil Umno Alor Gajah yang mengadakan mesyuarat bahagian dan mencadangkan Sulaiman dilantik sebagai ketua perhubungan Umno Melaka.

Sebuah portal berita juga melaporkan lima pemimpin Umno bahagian dari Melaka telah menemui Ahmad Zahid berhubung perkara itu.

[Baca berita asal]