Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Status Pua, Yeo untuk PRU ke-15 terus jadi tanda tanya

Selepas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding dalam PRU akan datang, muncul spekulasi dua lagi wakil rakyat DAP akan mengambil langkah sama.

Mereka ialah Tony Pua (Damansara) dan Yeo Bee Yin (Bakri).

Ditemui pada majlis makan malam untuk memungut dana di Petaling Jaya malam tadi Pua dan Yeo tidak memberikan jawapan yang jelas apabila ditanyakan kedudukan mereka, sekali gus memanaskan lagi teka-teki mengenai isu tersebut.

"Tidak ada pengumuman mengenainya, maka soalan itu tak berbangkit," kata Pua apabila ditanya mengenai kedudukannya dalam PRU ke-15 nanti.

Pua juga tidak memberikan sebarang komen lanjut.

Sementara itu Yeo enggan mengulas sama ada dia akan bertanding semula bagi mempertahankan kerusi Bakri atau tidak.

Sementara itu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang turut hadir di majlis tersebut mengumumkan pelantikan Pua sebagai penasihat dasarnya.

"Beberapa minggu lalu saya berbincang dengan Pua dan dia bersetuju berkhidmat sebagai penasihat dasar kepada setiausaha agung DAP.

"Saya menunggu sehingga malam ini untuk mengumumkan di depan penduduk Damansara dan Petaling Jaya bahawa Pua akan terus memainkan peranan dalam DAP,” katanya.

Ahli parlimen Seremban itu juga menafikan tanggapan pihak tertentu yang mendakwa DAP kini dalam proses mengetepikan pemimpin yang mendapat pendidikan Inggeris.

"Selepas pemilihan parti, ramai yang bertanya: apa berlaku kepada DAP? Mengapa pemimpin seperti Pua dan Yeo tidak dipilih menyertai jawatankuasa tertinggi pusat manakala Ong memutuskan untuk tidak bertanding dalam PRU akan datang.

"Ramai mempersoalkan jika DAP mengetepikan pemimpin berpendidikan Inggeris, semua lulusan Oxbrigde dalam parti.

"Semua itu tidak benar. DAP ialah parti untuk semua. Kita menghargai dan mengalu-alukan semua orang.

"Sebagai pemimpin parti, saya menghargai setiap bakat yang ada dalam DAO," kata Loke.

Pua, Yeo dan Ong dikenali sebagai trio Oxbridge berdasarkan latar pendidikan mereka sama ada menjadi lepasan Universiti Oxford atau Cambridge.

Semasa Pakatan Harapan menjadi kerajaan, Pua dilantik menjadi setiausaha Menteri Kewangan Lim Guan Eng, manakala Yeo diberi tanggungjawab menjadi menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim

Ong pula diberi amanah menjadi timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Dalam pemilihan DAP baru-baru ini, ketiga-tiga ahli parlimen terbabit gagal mendapat undi yang mencukupi untuk meletakkan mereka dalam jawatankuasa tertinggi pusat parti.

Baru-baru ini dalam wawancaranya dengan Malaysiakini, Ong berkata, dia akan terus berkhidmat sebagai ahli parlimen sehinggalah PRU ke-15 diadakan.

Selepas itu, katanya, dia mahu menggunakan masanya dalam bidang akademik.

Menurut Ong, semasa mula-mula ditawarkan bertanding dalam PRU, dia berbincang dengan isterinya dan bersetuju untuk berkhidmat sebagai ahli parlimen selama dua penggal saja.

[Baca berita asal]