Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Hanya seorang dari 5 pesakit hipertensi berjaya kawal penyakit'

Hanya seorang daripada lima pesakit hipertensi berjaya mengawal penyakit itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham berkata ia menjadikan 80 peratus daripada pesakit hipertensi terdedah kepada risiko komplikasi yang parah termasuk serangan jantung, strok, degupan jantung tidak teratur dan kerosakan buah pinggang.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira separuh pesakit tidak mengetahui mereka menghidap penyakit hipertensi.

“Sehubungan itu, Hari Hipertensi Sedunia 2022 ini disambut bertemakan ‘Tekanan Darah Terkawal, Hidup Lebih Sejahtera’ bagi meningkatkan kesedaran dan kepentingan mengawal tekanan darah dalam kalangan masyarakat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata bagi mengukuhkan aktiviti saringan kesihatan dalam kalangan rakyat, Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi akan menganjurkan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan bermula Julai ini.

Dr Noor Hisham berkata melalui program itu, KKM berharap orang ramai tampil untuk menjalani saringan kesihatan supaya pencegahan dan kawalan penyakit dapat dilakukan lebih awal.

Dia berkata sempena Hari Hipertensi Sedunia tahun ini, KKM turut menyeru masyarakat agar mengambil langkah-langkah C.E.R.D.I.K iaitu cergaskan diri dengan melakukan aktiviti fizikal atau senaman pada intensiti sederhana sekurang-kurangnya 30 minit sehari, lima hari seminggu.

Katanya selain itu, elakkan pengambilan alkohol kerana pengambilan secara berlebihan dikaitkan dengan penyakit hipertensi, berhenti merokok dan jangan mula merokok bagi yang tidak merokok serta amalan diet seimbang dengan konsep Pinggan Sihat Malaysia serta mengehadkan pengambilan garam tidak melebihi satu sudu teh sehari bagi mengurangkan risiko hipertensi, sakit jantung dan strok.

Masyarakat juga diseru agar mencapai dan mengekalkan berat badan ideal kerana jika berlebihan boleh meningkatkan risiko hipertensi, serta mengurus dan menangani tekanan dengan baik secara tidak langsung mengurangkan tekanan darah tinggi seterusnya mencegah komplikasi.

KKM berharap sambutan Hari Hipertensi 2022 akan meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap kepentingan pemeriksaan tekanan darah dan bahaya penyakit itu kepada kesihatan dan seterusnya mengubah tingkah laku untuk mencegah serta mengawal penyakit hipertensi.

“Cakna status kesihatan kendiri dan amalkan langkah-langkah C.E.R.D.I.K kerana kesihatan adalah milik kita semua. Kawal tekanan darah agar hidup lebih sejahtera,” katanya.

-Bernama