Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Tuan Yang Terutama' Tajuddin buat Ambiga rasa nak menangis

Ahli parlimen veteran daripada Umno, Tajuddin Abdul Rahman dikenali kerana sering menjadi tajuk berita atas sebab yang salah, lazimnya berkenaan tindakannya di dalam dan di luar Parlimen.

Tahun lalu, misalnya, kenyataannya susulan insiden pertembungan dua tren LRT pada tahun lalu menyebabkan dia disingkirkan daripada jawatan pengerusi Prasarana Malaysia Bhd.

Dengan rekod seumpama itu, maka tidak mengejutkan apabila ramai pihak yang mengkritik pelantikannya sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia yang seterusnya.

Bagi peguam Ambiga Sreenevasan, mereka yang mewakili Malaysia di negara luar perlu menjalani ujian IQ terlebih dahulu.

Ketika ditanya berkenaan perkara ini kepadanya, bekas presiden Majlis Peguam itu kelihatan sukar mencari kata-kata yang sesuai untuk menyuarakan kekecewaannya berikutan pelantikan Tajuddin.

Selepas diam seketika, dia mengeluh dan berkata: “Ada orang kata yang anda boleh ketawa atau menangis tentangnya. Tapi saya pilih untuk menangis.”

“Reputasi kita yang akan dimusnahkan dengan melantik orang macam ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Ambiga berkata ia jelas merupakan lantikan politik untuk seorang yang ada pengaruh di kalangan akar umbi Umno, atau dengan kata lain mendapat ganjaran atas peranannya mengekalkan kerajaan yang memiliki majoriti tipis.

“Pelantikan Tajuddin juga satu penghinaan kepada Indonesia.

“Bagaimana anda boleh lakukan perkara ini kepada negara? Tidakkah anda fikir kita perlu tunjukkan imej yang baik di luar negara? Apabila anda hantar orang yang tidak akan berbuat demikian, anda telah menggagalkan Malaysia.

“Kita bersatu (dalam menjaga imej negara). Ini tiada kaitan dengan agama atau kaum. Seluruh negara akan mendapat malu,” katanya lagi.

[Baca berita asal]