Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Belum ada waris tuntut kanak-kanak ditemui seorang diri minggu lalu

Seorang kanak-kanak lelaki dipercayai berusia antara tiga hingga empat tahun ditemui seorang diri di Gombak seminggu lalu masih belum dituntut oleh waris atau ahli keluarganya, menurut polis.

Polis hari ini menggesa sesiapa yang mengenali kanak-kanak itu atau ada maklumat berkenaan ibu bapa atau saudaranya untuk tampil ke depan.

"Setakat ini tiada lagi waris atau ahli keluarga yang datang menuntut kanak-kanak ini.

"Dia kini ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gombak," kata seorang jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Pada minggu lalu, Ketua Polis Daerah Gombak Zainal Mohamed dalam kenyataan berkata, kanak-kanak itu ditemui orang awam pada kira-kira pukul 2.24 tengah hari, 11 Mei.

Kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada polis yang kemudian membawanya ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan sebelum menyerahkannya kepada JKM Gombak.

Menurut polis, kanak-kanak itu berusia antara tiga hingga empat tahun, anggaran tinggi 60cm dan berkulit gelap.

Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Sarjan Rafidah Abdul Aziz di talian 019-3509963 atau bilik gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222.