Di zaman Mahathir pun Umno pinda perlembagaan parti - Shahril
Pindaan perlembagaan Umno bukan kali pertama dilakukan, kata ketua penerangannya, Shahril Hamdan.
Dia berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa kepimpinan Umno tidak menghormati perlembagaan parti itu.
Shahril berkata sejak 1987 hingga kini, pindaan perlembagaan berkaitan pemilihan parti itu telah dilakukan sebanyak tiga kali, termasuk ketika Mahathir menjadi presiden.
"Saya tak merasakan Umno perlu menjustifikasi tindakan dalaman kepada parti saingan.
"Tetapi disebabkan yang bersuara kali ini juga bekas Presiden Umno, mungkin ada baiknya saya ingatkan:
"Ini bukan kali pertama pindaan perlembagaan Umno telah dilakukan. Semenjak 1987 hingga kini, pindaan perlembagaan berkaitan pemilihan parti telah dilakukan tiga kali.
"Tahun 1987, ketika Tun menjadi Presiden Umno, sistem 10 undi bonus bagi setiap pencalonan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden diperkenalkan.
"Adakah bermaksud kepimpinan waktu itu tak hormat perlembagaan parti?" soal Shahril dalam satu kenyataan.
Perlembagaan Persekutuan dipinda 23 kali
Malah Shahril turut menyentuh mengenai Perlembagaan Persekutuan, yang menurutnya telah dipinda sebanyak 23 kali sepanjang tempoh pertama Mahathir menjadi perdana menteri.
"Perlembagaan Persekutuan telah dipinda 23 kali, termasuk tahun 1988 di mana terjadinya krisis perlembagaan.
"Kali kedua Tun menjadi Perdana Menteri, perlembagaan dipinda 1 kali. Adakah ini juga bermaksud tak hormat perlembagaan negara sendiri? Sudah tentu jawapan kepada semua di atas: tidak.
Menurut Shahril, perlembagaan sesebuah organisasi boleh dipinda mengikut kesesuaian waktu.
Begitu juga katanya, pindaan terhadap perlembagaan Umno juga boleh dilakukan selagi tidak lari daripada semangat dan roh perjuangan parti itu.
"Akhir kalam, lebih baik pinda perlembagaan parti berbanding berpindah parti berkali-kali,” katanya dipercayai merujuk kepada tindakan Mahathir yang telah dua kali bertukar parti sejak meninggalkan Umno.
Terdahulu, Mahathir dilaporkan berkata Umno tidak menghormati perlembagaan partinya sendiri selepas meluluskan pindaan untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga selepas pilihan raya umum.
“Mereka tahu kalau ada pemilihan akan berpecahlah UMNO. Jadi, mereka ambil jalan senang mempengaruhi kerajaan supaya tangguh pemilihan.
“Ini kalau dalam jangka pendek tak apalah. Ini sampai berapa bulan hendak tangguh. Itu bermakna kita tidak menghormati perlembangaan kita," katanya kepada pemberita di Langkawi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai